KUALA LUMPUR – Festival Ramadan Putrajaya 2023 (FRP 2023) akan melanjutkan operasinya sehingga 5 pagi bermula 10 hari terakhir Ramadan ini sehingga menjelang malam Aidilfitri.
Pengarah Ingenious Creative Lab (M) Sdn. Bhd, Shahrul Musa berkata, waktu operasi baharu yang bermula esok bagi memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan kelengkapan Aidilfitri pada saat akhir.
Beliau berkata, sebelum waktu operasi festival yang bermula sehari sebelum Ramadan itu dibuka pukul 12.00 tengahari hingga pukul 12 tengah malam
“Lanjutan operasi itu akan memberi peluang kepada 250 vendor FRP 2023 menawarkan harga diskaun dan berpatutan kepada pengunjung.
“Menjelang tiga hari terakhir Ramadan juga, vendor yang mengambil bahagian turut menawarkan diskaun sehingga 50 peratus menerusi promosi happy hour.
“Lebih 160 vendor menawarkan kelengkapan Hari Raya termasuk busana Raya yang kebanyakannya jenama tempatan,” katanya selepas majlis persembahan fesyen di Anjung Syawal FRP 2023, semalam.
Shahrul berkata, pihaknya menyasarkan 500,000 pengunjung bagi FRP 2023 kali ini dan yakin ia dapat dicapai menerusi pelbagai program dan aktiviti sepanjang penganjuran festival itu.
Katanya, antara jenama tempatan bertapak di FRP 2023 termasuk Elrah Exclusive, Bulan Bintang, Jols Luxe Fabrics, Rimbun KL, Zareeth Zehra, Arma Couture, Ejay Collection dan Muslim Vibe.
Sementara itu, enganjuran FRP2023 yang bertemakan “Seindah Ramadan, Harmoni Lebaran” melibatkan empat komponen utama iaitu Bazar Ramadan, Anjung Syawal, Kiblat Walk dan Laman Iftar dengan lokasi terlibat ialah di Dataran Putrajaya Presint 3, Kompleks Perbadanan Putrajaya dan lima lokasi bazar Ramadan Putrajaya.
RP2023 bertujuan menjadikan Putrajaya sebagai pusat sehenti menjual juadah berbuka puasa dan barangan keperluan hari raya bagi menyemarakkan semangat Ramadan,” menurut PPj.
Bagi komponen Bazar Ramadan, lebih 500 lot niaga disediakan di lima lokasi iaitu tapak bersebelahan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Presint 3; tapak parkir Taman Seri Empangan, Presint 5; tapak parkir Pasar Awam Presint 8; tapak berhadapan Depo PPj, Presint 9 dan tapak Pasar Malam Presint 14, yang bermula dari 3 petang hingga 8 malam.
Bagi komponen Anjung Syawal pula, ia menawarkan lebih 200 penggerai yang menjual barangan persiapan raya, persembahan kerohanian serta penampilan selebriti hijrah dan pempengaruh tempatan.
Antara selebriti yang menyertai Festival ini termasuklah Mawi, Rayme Zainal, Saharul Ridzwan, Adira Suhaimi, Asfnan Shah, Afzan, Shahz Jaszle dan Elly Ariffin.
Turut terlibat, seramai 48 usahawan dari Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan dan 14 usahawan dibawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Pengunjung turut boleh mengambil bahagian di dalam cabutan bertuah yang menawarkan sebuah motosikal berharga RM10,000 apabila mereka berbelanja sebanyak RM100 dalam satu resit. – MalaysiaGazette