Sidang media Mohammad Fakhruddin yang menuntut keadilan untuk Najib bersama pimpinan UMNO Bahagian Pekan semalam

PEKAN – Proses mengemukakan pengampunan penuh diraja untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat satu usaha muafakat dalam menuntut keadilan kepada bekas perdana menteri itu.

Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, semua ketua bahagian sedaya upaya dan menuntut keadilan bagi mengelak kekeliruan dan pandangan yang berbeza dalam kalangan rakyat  kepada keputusan sistem perundangan negara.

“UMNO Pekan amat berharap agar Lembaga Pengampunan kelak akan mengambil kira hujah Pengerusi Panel lima hakim, Yang Amat Arif Datuk Abdul Rahman Sebli dalam permohonan semakan yang menyebut secara jelas berlakunya penyelewengan keadilan dan hak Najib mendapat perbicaraan yang adil telah dinafikan.

“Kita turut mengalu-alukan dan amat menghargai persetujuan kesemua 191 Ketua UMNO bahagian seluruh negara untuk merayu kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar memberi pengampunan kepada Najib.

“Keadilan bukan semata-mata menentukan seseorang itu bersalah atau tidak. Orang yang dituduh itu mesti mendapat perbicaraan yang adil dan mesti merasakan diberi perbicaraan yang adil.

“Jika sistem tidak dapat menyediakan ini, lebih baik dia (Najib) tidak dibicarakan sama sekali,” katanya ketika sidang media semalam.

Najib semasa menjadi perdana menteri merupakan pemimpin UMNO Bahagian Pekan.

Tambah Mohamad Fakharudin, bersandarkan hujah tersebut, kerajaan perlu menubuhkan suruhan siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat sebarang salah laku demi memelihara integriti dan keyakinan rakyat kepada badan kehakiman negara.

Katanya, siasatan itu perlu dilakukan melalui penubuhan RCI demi menjaga imej dan integriti badan kehakiman negara.

“Dengan tidak sedikitpun mengurangkan rasa hormat kepada badan kehakiman negara, UMNO Pekan mendesak agar kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat serta empat orang panel hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang dan menolak rayuan dikemukakan Datuk Seri Najib pada 23 Ogos 2022.

“Desakan ini adalah dengan mengambil kira hujahan ketua panel mahkamah Persekutuan, Abdul Rahman Sebli – hakim besar Sabah dan Sarawak, yang menyebut dengan jelas bahawa berlaku penyelewengan keadilan (miscarriage of justice) dan hak Datuk Seri Najib mendapat perbicaraan yang adil telah dinafikan (deprived of a fair hearing),” katanya.

Pihaknya juga berharap pihak kerajaan mengambil tindakan undang-undang ke atas Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang telah disahkan melalui laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bahawa beliau telah melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan ketika menghakimi kes SRC International Sdn. Bhd. – MalaysiaGazette