'Bilik balkoni' di Shah Alam yang disewakan pada kadar RM600.

KUALA LUMPUR – Tindakan mengubah suai rumah kepada unit-unit kecil untuk disewakan adalah melanggar undang-undang dan boleh dikenakan tindakan.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, orang ramai boleh mengadukan kejadian berkenaan dan kerajaan tempatan akan mengambil tindakan penguatkuasaan.

Beliau berkata demikian kepada China Press sebagai mengulas laporan tentang penyewaan “bilik balkoni” di Shah Alam dengan harga RM600.

Kata Kor Ming, pemilik rumah yang ingin mengubah ruang hartanah mereka perlu memohon kepada kerajaan tempatan iaitu majlis perbandaran, dewan bandar raya atau majlis daerah.

“Menjadikan balkoni sebagai bilik sewa boleh mengundang bahaya dan tidak memenuhi spesifikasi bomba. Kesannya boleh memudaratkan jika berlaku insiden yang tidak diingini,” katanya.

Bagaimanapun, Kor Ming berkata, pihaknya belum menerima apa-apa laporan aduan mengenai pengubahsuaian rumah untuk mewujudkan unit-unit kecil bagi tujuan penyewaan. – MalaysiaGazette