KUALA LUMPUR – Bintang muda skuad kebangsaan Thailand, Suphanat Mueanta dikhabarkan semakin hampir untuk beraksi di saingan Liga Belgium untuk menyertai OH Leuven.
Menurut laporan Main Stand International, malah penyerang Buriram United itu menerima tawaran kontrak dari kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Leicester City dan bakal terbang ke Belgium untuk mendapatkan permit kerja sekaligus beraksi bersama OH terlebih dahulu yang dimiliki oleh pemilik sama iaitu King Power.
Salah seorang sumber memberitahu Pengerusi Buriram, Newin Chidchob membenarkan skuad kebangsaan untuk memanggil mana-mana pemainnya bagi beraksi dalam temasya Sukan SEA 2023 kecuali Suphanat yang sedang mempersiapkan diri untuk menandatangani kontrak bersama Leicester.
“Buriram United tidak berdepan masalah untuk melepaskan semua pemain mereka untuk beraksi dalam temasya Sukan SEA 2023 akan datang yang bakal berlangsung di Kemboja kecuali Suphanat,” kata sumber tersebut.
Sekiranya Suphanat berjaya mendapatkan permit kerja di OH Leuven, dia dapat beraksi dalam saingan liga di Eropah sebelum memenuhi syarat lain jika mahu beraksi dalam saingan EPL.
Sebelum ini, penjaga gol Thailand, Kawin Thamsatchanan pernah beraksi bersama OH Leuven selama empat musim dan membuat 20 penampilan bersama kelab tersebut.
Saingan Jupiler Pro League terus menjadi destinasi pemain muda meningkat naik dari rantau Asia Tenggara di mana terdapat beberapa pemain muda ASEAN yang beraksi di liga itu ketika ini.
Luqman Hakim terlebih dahulu membuka langkah apabila beliau beraksi bersama KV Kortrijk namun kini berkelana ke Liga Iceland bersama Njardvík.
Anak kepada legenda Singapura, Fandi Ahmad iaitu Ilhan Fandi kemudiannya menyusul dengan menyertai K.M.S.K. Deinze yang mana turut menandatangani pemain muda Indonesia, Marselino Ferdinan. – MalaysiaGazette