Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman mengesahkan mengenai tindakan pihak berkuasa Australia yang merampas dadah heroin seberat 336 kilogram (kg) yang dibawa masuk dalam sebuah kontena dari Malaysia ke Brisbane pada 13 Mac 2023 lalu.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, dadah tersebut dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta) dan ditumpaskan Persekutuan Polis Australia (AFP) dengan merampas sebuah kontena yang mengandungi dua blok konkrit seberat 500 kg yang disembunyikan dengan dadah tersebut.

“JSJN Bukit Aman kini sedang menjalankan siasatan dengan berpandukan maklumat yang diterima dari pihak Polis Persekutuan Australia (AFP) sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

BACA: Polis Australia rampas heroin 336 kg dari Malaysia 

Terdahulu, AFP menerusi kenyataan rasmi di Australia berkata, hasil rampasan dan semakan lanjut pihaknya mendapati penghantaran heroin terbesar itu diisytiharkan sebagai aksesori panel solar sebagai antara konsainan dalam kontena berkenaan yang tiba di Pelabuhan Brisbane dari sebuah pelabuhan di Malaysia.

“Pegawai ABF melakukan pemeriksaan lanjut ke atas kontena itu berjaya mengesan ratusan bungkusan tersembunyi di dalam blok konkrit simen berkenaan dan keputusan ujian ke atas bahan dalam bungkusan itu positif dadah jenis heroin.

“Penyiasat AFP dan pegawai ABF kemudian telah menggerudi blok konkrit simen itu sehingga ke bahagian dalam sebelum berjaya menemui dan mengeluarkan sebanyak 960 bungkusan dengan setiap satu mengandungi kira-kira 350 gram heroin,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Kenyataan AFP itu menambah, pihak berkuasa telah mengeluarkan kesemua bungkusan heroin daripada blok konkrit itu sebelum meneruskan menghantar konsainan ke alamat ditujukan iaitu di Brendale, utara Brisbane pada 28 Mac lalu.

Menurut AFP pada 29 Mac lalu, risikan polis Australia mendapati konsainan itu diterima oleh seorang lelaki tempatan menggunakan sebuah trak yang disewa menuju ke Sydney sebelum ia diturunkan di sebuah bangsal perindustrian di Mount Druitt pada 30 Mac lalu.

“Pemerhatian lanjut pasukan kami mendapati lelaki berusia 55 tahun itu kembali semula ke bangsal itu bersama alat pemotong industri untuk mengeluarkan bungkusan dadah yang disorok di dalam blok konkrit simen itu sebelum pasukan kami menggempur dan menahan suspek itu,” kata AFP dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada minggu lalu.

Pihak berkuasa Australia juga sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa negara Komanwel untuk mengesan dan menjejaki dalang utama sindiket tersebut yang bertanggungjawab ke atas penghantaran heroin tersebut dari Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast