Seramai 13 pemilik tanah kebun dan penduduk ketakutan selepas sekumpulan gajah liar menyerang tiga buah perkampungan di Daerah Lipis dekat sini baru-baru ini.

KUANTAN – Seramai 13 pemilik tanah kebun dan penduduk ketakutan selepas sekumpulan gajah liar menyerang tiga buah perkampungan di Daerah Lipis dekat sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, serangan haiwan itu membabitkan Kampung Ngening, Kampung Bandar dan Kampung Ngening Pos Lenjang.

“Kejadian berlaku pada 8 April lalu pukul 2 pagi di mana gajah-gajah liar itu merosakkan tanaman dan struktur rumah penduduk,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Keadaan salah sebuah rumah penduduk yang diserang gajah liar baru-baru ini


Menurut Azli, mereka yang terjejas terdiri daripada penduduk dan pekebun berumur 24 hingga 80 tahun di mana pelbagai barang kelengkapan rumah serta peralatan seperti mesin generator telah rosak dalam serangan itu.

“Pihak Jabatan Perhilitan telah dimaklumkan berkenaan kejadian ini dan pihaknya telah mengarahkan Jabatan Perhilitan Raub untuk ke tempat kejadian bagi mengawal situasi dan mengambil tindakan lanjut,” jelasnya.

Bagaimanapun, semua mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berlindung di tempat yang selamat dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan. – MalaysiaGazette