Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai bercakap kepada media selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sempena Hari Kemerdekaan ke-64 di Menara PGRM, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 31 OGOS 2021.
Dominic Lau

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat memberi peluang baharu kepada banduan untuk mengemukakan permohonan penyemakan semula atas hukuman yang dihadapi.

Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, terdapat 1,433 banduan layak membuat pemohonan penyemakan semula iaitu 1,316 banduan hukuman mati dan 117 banduan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat.

“Kita faham tujuan tujuan permohonan menyemak semula ini ialah membuat penyelarasan semula dengan undang-undang yang baharu iaitu RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

“Saya ada beberapa soalan untuk kerajaan jawab iaitu pertamanya, mengenai isu tempoh hukuman penjara yang mana RUU ini memberikan bidang kuasa kepada Mahkamah Persekutuan untuk menyemak semula permohonan 1,433 kes banduan yang dihukum mati dan dihukum penjara sepanjang hayat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan RUU Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat di Dewan Negara, hari ini.

Dominic Lau memberi contoh, ada seorang banduan dipenjara sepanjang hayat telah menjalani hukuman selama 40 tahun.

Soalnya, jika selepas semakan itu diluluskan, adakah banduan berkenaan akan dibebaskan dengan segera kerana pemenjaraan maksimum yang ditentukan undang-undang RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori adalah 40 tahun sahaja.

“Atau banduan ini akan terus menjalani hukuman penjara lagi selepas 40 tahun dan bagaimanakah hakim atau mahkamah akan membuat keputusan tersebut? Adakah ia akan mengambil kira tempoh seseorang banduan yang telah menjalani hukuman itu?

“Soalan kedua ialah mengenai pengendalian kes. RUU ini melibatkan aktiviti semakan 1,433 banduan yang dihukum mati dan penjara sepanjang hayat oleh pihak badan kehakiman,” katanya.

Bahkan, katanya, pada masa sama, beliau difahamkan badan kehakiman sibuk mengendalikan banyak kes dan bagaimana mereka dapat memastikan semua kes diselesaikan dalam kadar segera?

Beliau juga bertanyakan persediaan kerajaan dalam membekalkan perkhidmatan peguam kerana kerajaan perlu faham pada peringkat ini kemungkinan besar banduan itu tidak mempunyai sesiapa di luar kerana mereka juga tidak mempunyai wang untuk mendapatkan peguam. – MalaysiaGazette