Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kira-kira 2 juta kenderaan akan menggunakan semua rangkaian lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) pada 20 April hingga 21 April, 24 April hingga 25 April, 29 April hingga 1 Mei dan 4 Mei hingga 7 Mei 2023 sempena Hari Raya Aidilfitri.

Jumlah kenderaan ini merupakan peningkatan sebanyak 20% berbanding jumlah trafik pada hari-hari biasa, kata Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.

Justeru, PLUS menyarankan agar orang ramai merancang perjalanan mereka dengan baik dan pulang ke kampung lebih awal bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam lonjakan trafik pada hari-hari tersebut.

“Bagi menguruskan lonjakan trafik pada perayaan kali ini, PLUS telah membuat persediaan dan mengatur pelbagai strategi bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selamat dan selesa di lebuh raya kami. Strategi-strategi tersebut merangkumi aspek keselamatan lebuh raya, pengurusan trafik dan kesesakan, pengagihan trafik, pengurusan trafik di plaza tol, pengurusan kemudahan di kawasan rehat, hebahan maklumat trafik dan
sebagainya,” katanya.

Zakaria Ahmad Zabidi

Zakaria berkata, dalam memastikan aspek keselamatan pengguna lebuh raya sentiasa berada pada tahap yang baik, PLUS akan terus berkolaborasi bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dan advokasi di lebuh raya sepanjang musim perayaan ini.

Selain itu, PLUS turut menempatkan Pasukan Bantuan Kecemasan (ERT) yang terdiri daripada PDRM, JPJ, Angkatan Pertahanan Awam (APM), St John Ambulans dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) di 11 lokasi strategik di lebuh raya dengan lebih daripada 500 petugas.

Untuk meningkatkan tahap keselamatan di rangkaian Lebuhraya PLUS termasuklah di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) pada musim perayaan ini, sebanyak 269 jumlah pasukan peronda lebuh raya merangkumi PLUSRonda dan LPT2Ronda ditugaskan menjalankan rondaan 24 jam sehari dan bagi membantu pengguna lebuh raya yang mengalami kecemasan atau kerosakan kenderaan.

Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak 9.3% berbanding hari-hari biasa,” katanya.

PLUS juga akan turut mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan dalam tempoh terdekat ini sebagai strategi untuk mengagihkan trafik dan membantu orang ramai merancang perjalanan mereka untuk pulang ke kampung atau kembali semula ke Lembah Klang pada musim perayaan ini.

PLUS juga turut menempatkan lebih 6,000 petugas dari keseluruhan ekosistem lebuh rayanya di plaza-plaza tol, kawasan rehat dan rawat, hentian sebelah dan laluan utama lebuh raya meliputi anggota peronda, pembantu khidmat pelanggan dan penyelia plaza tol, petugas Pusat Pemantauan Trafik (TMC), anggota RELA, Pasukan Bantuan Kecemasan (ERT) dan kakitangan penyelenggaraan untuk bersedia membantu pengguna lebuh raya.

Zakaria menambah, bagi memastikan perjalanan di lebuh raya lebih lancar dan selesa, PLUS akan menghentikan sementara kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan di lebuh raya mulai 19 April hingga 1 Mei akan datang. Dalam tempoh tersebut, tiada penutupan lorong akan dilaksanakan.

Namun, sekiranya berlaku kes-kes kecemasan serta terdapat kerja pembaikan kritikal, penutupan lorong terpaksa dijalankan bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya ketika musim perayaan ini.

Pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik terkini sempena musim perayaan di Lebuhraya PLUS dan LPT2 menerusi beberapa medium komunikasi dengan mengikuti twitter @PLUStrafik atau twitter @LPT2trafik, Aplikasi PLUS, Chatbot PUTRI, stesen-stesen radio dan papan tanda elektronik (VMS). – MalaysiaGazette