KUALA LUMPUR – CSO Platform For Reform menggesa semua pihak menghentikan serangan terhadap institusi kehakiman negara bagi memastikan integriti badan kehakiman negara ini terus dipelihara.

Jawatankuasa Pemandu CSO Platform for Reform dalam kenyataan hari iniĀ  turut mengingatkan bahawa badan judisiari negara sepatutnya bebas tanpa ada sebarang campur tangan politik mahupun pihak-pihak tertentu semata-mata mahu memenuhi kehendak sesetengah pihak.

CSO Platform for Reform yang kesal terhadap cubaan mempertikai kebebasan institusi kehakiman di negara ini berkata, pihaknya menyokong penuh kenyataan Presiden Majlis Peguam Malaysia baru-baru ini mengenai dokumen yang didakwa bocor dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan serangan terhadap mahkamah dan hakim-hakimnya.

“Kami mengambil maklum terhadap intimidasi berterusan yang terarah kepada mahkamah oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab berkaitan dengan kes SRC dan kami merasakan serangan-serangan ini merupakan satu ancaman terhadap prinsip keadilan di negara kita.

“Sebagai sebuah negara Madani, kita seharusnya memahami bahawa 14 Hakim telah menimbangkan kes tersebut dan 13 daripadanya telah memberikan keputusan rasional yang mengekalkan sabitan. Oleh itu, tindakan untuk mempertikai pentadbiran keadilan negara melalui serangan berterusan di media atau melalui cara-cara lain adalah tidak dapat diterima dan wajar dihentikan serta-merta,” katanya.

Gabungan 60 pertubuhan masyarakat sivil yang berpusat di Malaysia dan memberi tumpuan kepada pembaharuan institusi ini berpendapat isu konflik kepentingan yang didakwa oleh Peguam Datuk Seri Najib Razak telah dibincangkan dan diperdebatkan oleh para peguam di hadapan dua panel berasingan Mahkamah Persekutuan.

Pada kedua-dua kes, Mahkamah Persekutuan telah mempertimbangkan perkara tersebut dan memutuskan bahawa dakwaan tersebut tidak berasas.

Oleh itu, dakwaan konflik kepentingan terhadap Hakim Datuk Mohd Nazlan Ghazali telah diputuskan secara muktamad dan tidak dapat disangkal lagi.

“Kami juga berpendapat bahawa surat SPRM yang didakwa “bocor” bertarikh 20 Februari 2023 yang dihantar kepada Ketua Hakim Negara dan telah tersebar luas kepada media adalah sebuah kesalahan serius oleh SPRM dalam menjalankan kuasa dan bidang kuasanya di bawah akta mereka.

“Selain itu, surat dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said kepada peguam Najib telah sama-sama “bocor” kepada media yang secara tidak langsung menjadikan isu ini seolah-olah menimbulkan keraguan sehingga wujud campur tangan daripada sesetengah pihak,” tambahnya. – MalaysiaGazette