Datuk Mohd Nizom Sairi

KUALA LUMPUR – Inisiatif baharu e-invois menggantikan invois dan resit fizikal disasar akan dilaksanakan secara mandotari kepada kumpulan pertama selewat-lewatnya 1 Jun tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Dr Mohd Nizom Sairi berkata, syarikat yang mempunyai kadar pusing ganti tahunan melebihi RM100 juta dipilih menjadi kumpulan pertama menggunakan inisiatif tersebut.

“Kita sudah ada tempoh masa bagi pelaksanaan ini…sekarang ini kita sedang membangunkan infrastruktur kerana akan ada hubungan antara sistem perniagaan dengan LHDN, kalau mereka keluarkan invois, akan ada rangkaian dengan LHDN dan sebagainya.

“Perancangan kita terhadap kumpulan pertama, bermula selewat-lewatnya 1 Jun 2024 tetapi kalau kita boleh siapkan struktur lebih awal, mungkin ia akan jadi projek perintis dulu namun kita akan jadikan ia mandatori mengikut jadual pada Jun tahun hadapan,” katanya.

Inisiatif e-invois merupakan penyelesaian kepada kesulitan dihadapi pembayar cukai termasuk syarikat dan individu untuk menyimpan invois dan resit sehingga tujuh tahun sebagai bukti untuk pelepasan cukai.

Kaedah tersebut akan membantu simpanan rekod kewangan pembayar cukai secara kekal di dalam sistem yang dibangunkan LHDN.

Beliau berkata, syarikat yang mempunyai kadar pusing ganti tahunan melebihi RM50 juta merupakan kumpulan kedua menggunakan e-invois apabila sistem itu semakin stabil selepas pelaksanaan terhadap kumpulan pertama.

Pelaksanaan terhadap kumpulan kedua itu akan dilakukan pada pada tahun seterusnya.

Mohd Nizom ditemui pada Majlis Berbuka Puasa dan Apresiasi Media 2023 yang dianjurkan oleh LHDN.

Seramai 130 orang pengamal media yang terdiri daripada ketuaketua agensi dan wartawan dari 55 agensi media telah hadir bagi memeriahkan majlis apresiasi itu.

Beliau turut menyampaikan plak penghargaan kepada wakil-wakil agensi terbabit.

Sementara itu, Mohd. Nizom berkata, pihaknya juga menyasarkan sekurang-kurangnya tiga tahun untuk melaksanakan pembayaran balik e-Filing dalam tempoh sehari selepas permohonan tuntutan dihantar.

“Pematuhan masa nyata (real time compliance) ini kita harap ia boleh dipendekkan, sebelum ini mengambil masa berbulan-bulan sekarang dua minggu…sekiranya semua berjalan baik, ia boleh dipercepatkan lagi.

“Nak letak tempoh masa mungkin susah namun kita mengharapkan ia menjadi lebih cepat sebab kita nak keyakinan orang bayar cukai itu tinggi….kita harapkan dalam dua hingga tiga tahun lagi,” katanya.

Katanya, sekurang-kurangnya separuh daripada pembayar cukai individu dan selain individu telah mengemukakan Borang Nyata (BN) Tahun Taksiran 2022 melalui e-Filing sejak 1 Mac lalu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast