WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden membayangkan akan bertanding semula pada Pilihan Raya 2024.
Walaupun bercadang untuk bertanding semula namun Biden “belum bersedia untuk mengumumkannya lagi”.
Biden membuat kenyataan itu dalam wawancara bersama NBC pada hari Ahad.
Semasa sidang media November lalu, Biden turut bercakap mengenai hasratnya untuk meneruskan lagi penggal petadbirannya tetapi mahu membincangkannya dengan keluarganya pada cuti akhir tahun.
Pada bulan Februari, Wanita Pertama Jill Biden menyifatkan masa yang tinggal untuk membuat keputusan adalah ‘cukup banyak’.
Kakitangan White House telah mencadangkan bahawa pengumuman boleh dibuat seawal Februari tetapi kemungkinan dibuat pada bulan April.
Laporan terbaharu mendakwa Biden mungkin menunggu sehingga suku kutipan dana kempen baharu bermula pada bulan Julai sebelum membuat pengumuman.
Jumlah pengumpulan dana suku tahunan sering dilihat sebagai petunjuk penting tentang kekuatan kempen.
Pada masa ini terdapat dua calon yang diumumkan untuk pencalonan presiden Demokrat 2024 iaitu pengarang buku, Marianne Williamson dan aktivis anti-vaksin, Robert Kennedy Jr.
Walau bagaimanapun, tiada pemegang jawatan Demokrat terkemuka yang mempertimbangkan cabaran kepada Biden.
Kekurangan mana-mana saingan hebat dalam partinya telah memberi Biden keupayaan untuk menetapkan masa bagi sebarang pengumuman rasmi tanpa tekanan luar yang ketara.
Manakala Donald Trump sudah mengumumkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Presiden 2024.
Minggu lalu, bekas presiden itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Manhattan atas tuduhan memalsukan rekod perniagaan.
Pada usia 80 tahun, Biden sudah pun menjadi presiden tertua dalam sejarah AS.
Jika beliau menang dalam pemilihan semula, Biden akan berusia 86 tahun pada penghujung penggal kedua. – Agensi