peruntukan kesihatan awam
Dr. Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR – Setiap kerajaan negeri perlu menggunakan peruntukan berkaitan perkhidmatan kesihatan awam yang disalurkan kerajaan Pusat secara optimum bagi memenuhi keperluan rakyat.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, di bawah Belanjawan 2023, kementeriannya menerima peningkatan peruntukan kedua terbesar selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan kelangsungan perkhidmatan kesihatan awam.

“Saya ingin menegaskan bahawa peruntukan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Perpaduan dilakukan setelah membuat penelitian terperinci terhadap dan keperluan dan kepentingan rakyat di setiap negeri selaras dengan konsep Malaysia Madani,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas mengenai mesyuarat Menteri Kesihatan bersama exco kesihatan negeri yang pertama di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Dalam mesyuarat tersebut, KKM telah membentangkan maklumat berkaitan Analisis Belanjawan 2023 dan peruntukan perbelanjaan kementerian yang jelas menarik perhatian semua exco yang hadir untuk memberi pendapat yang membina.

Dr. Zaliha menambah, secara tuntas, mesyuarat itu turut membentangkan isu-isu penting mengenai Kertas Putih Kesihatan, Perbelanjaan dan Projek Pembangunan KKM, dan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).

“Saya turut menggesa setiap exco negeri agar dapat memainkan peranan aktif dalam memastikan pembentangan Kertas Putih Kesihatan dapat direalisasikan.

“Saya juga berharap agar mesyuarat ini akan dijadikan platform yang menjadi pemangkin untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan bagi mewujudkan masyarakat Malaysia Madani yang sihat sejahtera,” jelasnya. – MalaysiaGazette