PH pengampunan diraja Najib
Najib Razak

KETIKA ini, permohonan pengampunan diraja untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat menerima sambutan yang kurang menggalakkan daripada Pakatan Harapan (PH).

Malah, Ahli Parlimen Pasir Gudang yang juga pemimpin PKR, Hassan Abdul Karim memberi peringatan bahawa PH dan partinya akan rebah jika Najib dibebaskan dari penjara dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilepaskan daripada semua pertuduhan yang dihadapinya di mahkamah.

Boleh dikatakan, pandangan beliau itu turut dikongsi oleh sebahagian besar akar umbi dan penyokong PH yang secara terang-terangan mahu melihat Najib menjalani hukuman penjara mengikut tempoh yang ditetapkan oleh mahkamah.

Tidak salah jika sekadar mahu menyatakan pendapat, namun pemimpin dan penyokong PH sepatutnya sedar bahawa mereka kini sudah tidur sebantal dengan UMNO apabila Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bantahan yang disuarakan mereka terhadap permohonan pengampunan diraja untuk Najib boleh menjejaskan semangat solidariti dalam kalangan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Para pemimpin dan penyokong PH tidak sewajarnya berasa sangat selesa dengan sedikit kuasa yang ada sehingga menyebabkan mereka tidak mempedulikan agenda perjuangan parti-parti sahabat yang lain.

Sejak permohonan semakan semula Najib bagi kes SRC International ditolak Mahkamah Persekutuan pada 31 Mac lalu, UMNO menyokong sepenuhnya permohonan pengampunan diraja untuk bekas Presiden parti itu.

Pendirian itu dinyatakan secara rasmi oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam mesyuarat pada 7 April lalu di mana parti berkenaan memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada Najib.

Namun, ada pihak yang kurang senang dengan pendirian tersebut sehingga tergamak menuduh UMNO menggunakan desakan politik untuk membebaskan Najib.

PH yang bakal bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi seharusnya sedar bahawa UMNO amat memerlukan aura Bossku bagi memulihkan kembali sokongan rakyat yang merudum semasa PRU15.

Tiada siapa dapat menafikan hakikat bahawa fenomena Bossku yang dicetuskan Najib telah membantu kemenangan bergaya BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan PRN Johor.

Pemimpin dan penyokong PH juga sepatutnya sedar bahawa UMNO sanggup berkorban dan berdepan cemuhan orang Melayu apabila bersetuju menyertai Kerajaan Perpaduan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Langkah itu dikhuatiri akan menyebabkan sokongan orang Melayu di Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinang semakin terjejas pada PRN kelak.

Walaupun Ahmad Zahid dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan menerima sokongan padu dalam parti, perkara serupa mungkin tidak berlaku terhadap pengundi atas pagar yang sebelum ini mengundi BN dan UMNO.

Mahu tidak mahu, PH perlu menerima kenyataan bahawa BN dan UMNO yang bakal menjadi sekutu pakatan pilihan raya di enam negeri berkenaan perlu menerima suntikan aura Bossku untuk sekurang-kurangnya kekal bertahan.

Sekiranya BN ditolak rakyat sekali lagi, adalah sukar untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan yang stabil termasuk di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang sedia ada dikuasai PH.

Sehubungan itu, PH seharusnya menunjukkan solidariti dalam menyokong permohonan pengampunan diraja terhadap Najib, sama seperti yang mereka lakukan terhadap permohonan Anwar selepas PRU14 dahulu. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Mohon YDPA ampunkan PENJENAYAH bukan kurang sokongan dari PH… SATU PUN TIADA…
    Kes Anwar diampun tu langsung TIADA MP ..NO menyokong termasuk president Welanon tu..
    tak caya gi tanya….
    kalau kalian percaya dia jawab Ya… Ya… Ya…
    berdoalah pada tuhan mengikut agama masing-masing semuga diselamatkan…

    • Komen merapu tak teratur ayat, macam pendatang Rohingya.. Ruang komen MG ni siapa admin yang kawal? Buat ruangan komen tapi pembaca tak boleh komen, ada hantu dalam MG komen merapu. DS Najib difitnah teruk, wajib dia dibicarakan semula atau dibebaskan terus.. enang cerita. Tak payah komen bukan2

Comments are closed.