Umi Umairah sedang memotong kain tempahan baju raya bagi memastikan semua tempahan dapat disiapkan seminggu sebelum Syawal di premisnya di Ayer Molek, Melaka.

MELAKA – Bimbang Aidilfitri kali ini disambut sehari awal seperti Syawal tahun lalu, seorang tukang jahit di sini bertungkus lumus memastikan lebih 1,000 tempahan baju raya pelanggannya dapat disiapkan seminggu sebelum hari lebaran.

Pengusaha kedai pakaian Sir Come Collections Tailor, Umi Umairah Lokman, 27, berkata, walaupun tidak berdepan sebarang masalah menyiapkan tempahan baju raya pelanggannya tahun lalu, dia tetap ingin memastikan tempahan tahun ini dapat disiapkan seawal mungkin.

“Macam tahun lalu, saya lihat di media sosial ramai berkongsi pengalaman lucu baju raya tak sempat siap kerana Aidilfitri diumumkan sehari lebih awal daripada tarikh sepatutnya mengikut kalendar.

“Walaupun kami tidak menghadapi masalah itu, tapi saya komited memastikan baju raya pelanggan disiapkan sekurang-kurangnya seminggu sebelum lebaran.

“Saya mahu memastikan perniagaan yang diwarisi daripada arwah ayah ini terus mengekalkan kualiti pakaian dan perkhidmatan yang terbaik untuk terus mendapat kepercayaan pelanggan,”katanya ketika ditemui di premisnya itu di Ayer Molek di sini hari ini.

Umi Umairah Lokman

Sambutan Aidilfitri tahun lalu mencipta sejarah yang penuh bermakna bagi umat Islam di seluruh negara apabila tarikh perayaan utama itu diumumkan sehari lebih awal daripada jangkaan kalendar.

Kisah ‘raya terkejut’ itu kemudian menjadi trending dan tidak pernah lekang di bibir masyarakat yang berkongsi pelbagai pengalaman lucu termasuklah terpaksa ke pasar raya membeli baju raya kerana tempahan tidak sempat disiapkan si tukang jahit.

Mengulas lanjut Umi Umairah berkata, dia juga meneruskan tradisi arwah ayahnya, Lokman Yusof, yang baharu meninggal dunia Februari lalu untuk tidak menutup tempahan Aidilfitri sehingga seminggu sebelum raya.

Pekerja Sir Come Collections Tailor sedang menyiapkan tempahan baju raya bagi memastikan semua tempahan dapat disiapkan seminggu sebelum Syawal di premisnya di Ayer Molek, Melaka

“Memang arwah ayah tak pernah tutup tempahan selagi boleh ambil, dia akan ambil asalkan kita kena pastikan tempahan itu dapat disiapkan sebelum Syawal.

“Sebab itu, sampai sekarang kami masih terima tempahan baju raya kerana telah menyusun pembahagian tugas 11 tukang jahit termasuk lima suri rumah yang bekerja secara sambilan di rumah.

“Lagi pun, tempahan baju raya tahun ini agak kurang antara 15 hingga 30 peratus berbanding tahun lalu kerana lambakan baju raya yang telah siap di pasaran membuatkan kami tiada masalah untuk siapkan tempahan mengikut waktu ditetapkan,” katanya.

Tambahnya, antara jenis tempahan yang diterima adalah baju Melayu biasa dan moden, kurta, kemeja batik, jubah manala bagi wanita adalah baju kurung biasa dan moden, baju kurung Pahang dan jubah dengan upah jahit antara RM75 hingga RM160. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Apa punya rendah IQ orang menyambut Hari raya sebab sehari awal menjadi mereka hilang PUNCA.
    Dey Tambi Minaci…. itu Raya punya persiapan buatlah awal-awal sebulan sebelum puasa.
    Jika tempahan tickets bas keretapi kapal laut kapal terbang nitizen kelamkabut agak logic sebab tarikh jualan telah ditetapkan.
    ok lepas raya ni tukar sifat lebih berdisiplin…
    jika masakan ketupat rendang tu mungkin boleh LELAH dibuatnya hahaha hahaha
    rakyat luar Melaka ada BERTANYA dan bersembang kemungkinan KM Melaka bertukar REGU tu disebabkan pengumuman paling awal seawal-awalnya… ssyutt cakap pelan-pelan….

Comments are closed.