Dr. Mohammed Taufiq Johari. Foto HAZROL ZAINAL, 15 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Menteri Besar kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dinasihatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan yang bersifat spekulasi tanpa asas dan bukti yang kukuh.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, kenyataan Sanusi itu dilihat sebagai cubaan untuk mengeruhkan hubungan antara Kerajaan Negeri Kedah dan Kerajaan Pusat.

“Walaupun acapkali berlaku sebegitu akibat dari kenyataan beliau yang lain – namun ia juga menunjukkan bahawa beliau mempersoal kebijaksaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Kedah dengan menyatakan seolah-olah Sultan Kedah mudah dipengaruhi.

“Tambahan pula, beliau sendiri mengaku bahawa beliau tidak mempunyai bukti kerana perkara ini belum terjadi. Pada saya, ini sebenarnya hanyalah spekulasi beliau semata-mata. Tidak lain, hanyalah ketakutan beliau terhadap bayangannya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohammed Taufiq menyetakan demikian bagi mengulas dakwaan Sanusi bahawa terdapat usaha untuk menamakan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Norizan Khazali sebagai penggantinya dalam Majlis Kewangan Negara.

Menteri Besar itu mendakwa gerakan tersebut dilakukan akibat kelantangannya mengkritik Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Sanusi mengakui tidak mempunyai bukti untuk menyokong dakwaan itu kerana gerakan berkenaan belum menjadi realiti.

Mengulas lanjut, Mohammed Taufiq yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berkata, kenyataan Sanusi itu hanya menimbulkan syak wasangka antara pemimpin dan seolah-olah tidak mempercayai sebarang keputusan yang akan dibuat oleh Sultan Kedah.

“Kebijaksanaan Tuanku Sultan Kedah tidak wajar dipertikai, dan belum ada sebarang kenyataan dibuat. Saya sebagai pemimpin muda bercita-cita untuk melihat kematangan politik daripada pemimpin yang lebih senior.

“Beliau seharusnya lebih fokus untuk memikirkan tentang kesejahteraan rakyat. Jaga hubungan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. Beliau kini mewakili Negeri Kedah, bukan mewakili parti politik.

“Meskipun tidak sealiran dalam membawa ideologi politik, namun beliau perlu sedar bahawa fokus gerak kerja kepada rakyat perlu diberikan keutamaan dan perlu ada usaha ke arah mencari titik persefahaman, bukan terus mengeruhkan keadaan. Kenyataan-kenyataan seperti ini langsung tidak membantu dalam membangun Negeri Kedah,” jelas Mohammed Taufiq. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Welanon perintis ini baru nak up.
    Welanon ni bukan sekadar mengeruhkan silaturrahim tetapi memfitnah MB KEDAH.
    Welanon MENIPU MEMFITNAH berpisah tiada.
    jika MB KEDAH mempertikaikan Sultan KEDAH ambillah tindakan dan report polis jika MB membuat kemudaratan.
    next time cari point sembang yang rakyat tidak perasan, berita ni budak mabok ketum pun faham

Comments are closed.