Gambar hiasan

IPOH – Seorang suri rumah berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah hampir RM500,000 lesap selepas diperdaya sindiket penipuan phone scam baru-baru ini.

Wanita berusia 53 tahun itu dikatakan mula terjerat dalam sindiket terbabit selepas menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa dirinya wakil syarikat insurans dan pegawai polis pada Februari lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa dimaklumkan oleh suspek kononnya dia telah membuat tuntutan palsu insurans selain didakwa terlibat kes jenayah pemerasan serta judi haram.

Kata beliau, mangsa kemudiannya diminta membuat pemindahan kesemua wang yang berada dalam akaun bank miliknya yang telah didedahkan maklumat oleh sindiket dengan alasan untuk siasatan.

“Mangsa yang mengikut arahan suspek kemudiannya menyedari dia telah ditipu selepas menceritakan perkara itu kepada ahli keluarganya.

“Selepas membuat semakan ke atas akaun bank, mangsa mendapati wang simpanannya telah berkurangan sebanyak RM459,754,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tambah Mohd Yusri, wanita itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian pada 8 April lalu selepas menyedari dirinya diperdaya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Sehubungan itu, saya juga ingin menasihati orang ramai agar berhati-hati dengan taktik penjenayah scammer kerana ramai individu telah menjadi mangsa penipuan mereka,” katanya.

Orang ramai diminta menghubungi CCID Scam Response Centre di talian 03 2610 1559 dan 03 2610 1599 atau National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 atau berhubung dengan IPD berhampiran sekiranya mempunyai sebarang keraguan bagi mengelakkan menjadi mangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast