KUALA LUMPUR – Waktu operasi beberapa stesen rel terpilih Sabtu ini akan dilanjutkan sehingga 1.30 pagi (Ahad).
Rapid Rail Sdn Bhd berkata, lanjutan operasinya dibuat bagi memenuhi keperluan warga kota yang ingin membuat persiapan akhir untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Stesen yang terlibat adalah LRT Laluan Kelana Jaya; LRT Laluan Ampang/ Sri Petaling; MRT Laluan Kajang dan monorel Bukit Bintang, Raja Chulan, Medan Tuanku dan Chow Kit.
“Stesen-stesen sambungan akan turut dilanjutkan bagi membawa penumpang ke destinasi akhir.
“Manakala stesen- stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa, tetapi penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan,” Kata Rapid Rail Sdn Bhd.
Ujar syarikat berkenaan, bagi bas perantara di enam stesen LRT Laluan Ampang yang ditutup sementara, juga akan beroperasi sehingga 1.30 pagi.
Sehubungan itu, Rapid Rail, menyeru penumpangnya menggunakan kad Touch ‘N Go dan membeli token lebih awal bagi memudahkan perjalanan.
“Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengikuti Twitter dan Facebook MyRapidKL atau melayari laman web: www.myrapid.com.my,” tambah Rapid Rail.-MalaysiaGazatte