Staf membungkus bubur ke dalam plastik untuk diagihkan

SINTOK – Resepi adunan bersama rempah ratus, kemanisan udang dan daging segar sehingga menghasilkan aroma yang harum semerbak menjadikan Bubur Lambuk Seri Sintok sehingga menjadi sebutan ramai bukan sahaja di Universiti Utara Malaysia (UUM) malah penduduk sekitar.

Pembantu Hal Ehwal Islam, Pusat Islam, Ahamad Zabadi Mokhtar berkata, penyediaan bubur lambuk sudah menjadi tradisi Pusat Islam bersama staf dari pelbagai jabatan dan warga kampus bergotong-royong menyediakan bubur lambuk untuk mengeratkan silaturahim seterusnya menghidupkan Ramadan.

Bubur istimewa ini menggunakan pelbagai bahan antaranya daging segar, tulang, udang, sayur-sayuran, santan dan minyak sapi yang menaikkan aroma semerbak harum yang melalui proses memasak yang agak lama.

“Saya sediakan perencah utama dengan bahan-bahannya mengikut sukatan manakala pembantu tukang masak yang bertugas memasukkan bahan yang disediakan di dalam periuk. Untuk mengekalkan citarasa agar sedap dan berlemak, ramuan dan kebersihan adalah kunci utama.

“Jika memasak satu kawah, sukatan air mengikut saiz kawah dengan bahan-bahan yang siap diadun dan paling mencabar adalah untuk memastikan rasa lemak masin mesti seimbang. Jadi, kita kena tahu bagaimana untuk menyeimbangkan rasa itu agar tidak terlalu masin atau tawar,” katanya.

Menariknya, bubur lambuk yang dinikmati oleh warga kampus sejak lebih dua dekad lalu masih mengekalkan rasa yang sama seperti dahulu jadi tidak hairanlah jika turut menjadi kegemaran Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Canselor UUM ketika itu.

“Ada nostalgia manis di sebalik Bubur Lambuk Seri Sintok yang menjadi kebanggaan kerana pernah disantap oleh Almarhum Sultan Abdul Halim.

“Ketika Almarhum berkenan mencemar duli berangkat ke UUM untuk majlis berbuka puasa bersama warga kampus, Baginda dihidangkan dengan pelbagai juadah termasuk bubur lambuk yang menjadi kesukaannya.

“Almarhum mengggemari bubur ini sehingga tiga hari berturut-turut pihak istana datang ke mari untuk mendapatkan bubur kegemarannya,” katanya.

Sejarah Bubur Lambuk bermula 20 tahun lalu oleh pengasasnya, Ramli Siraj, pesara UUM yang pernah menjadi Ketua Kerani di Jabatan Pendaftar yang telah bersara. Sejak itu, Zabadi mula mempelajari selok-belok dan meneruskan legasi bubur lambuk sehingga kini.

Sementara itu, Saadiah Abdul Hamid dari Kelab Kebajikan Jabatan Canselori, (Chance Club) berkata, bubur lambuk telah sebati dalam masyarakat kampus dan sebagai satu pengisian di bulan Ramadan yang menggalakkan kita melakukan sunnah Rasulullah dengan memberi makan kepada orang berbuka puasa.

“Setiap kali Ramadan Bubur Lambuk Seri Sintok pasti menjadi sebutan dan sentiasa ditunggu-tunggu kerana kemeriahan lebih terasa di bulan Ramadan.

“Inilah masanya kita berkumpul memasak beramai-ramai walaupun dalam keadaan berpuasa tetapi masih ceria dan bertenaga ketika menyediakan bubur lambuk.

“Seawal jam 9 pagi kami mula menyediakan bahan-bahan masakan sehingga ke proses memasak, bersiang udang, daging, mengupas bawang, cuci beras, membungkus dalam bekas dan mengagihkan kepada ahli kelab,” katanya.

Bubur ini dimasak secara bergilir-gilir oleh kakitangan UUM dengan kerjasama Pusat Islam mengikut jadual sepanjang Ramadan. Tidak kira jantina, dan semua peringkat umur semuanya sepakat tolong-menolong membuat persiapan sehingga selesai masak.

Benarlah pepatah Melayu bulat air kerana pembetung bulat manusia kerana muafakat, berat sama dipikul ringan sama dijinjing. – MalaysiaGazette