Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan skim pelaburan meragukan yang menggunakan nama syarikat perancangan kewangan yang sah.

Dalam kenyataan hari ini, FPAM berkata, pihak terbabit akan menggunakan nama utama syarikat perancangan kewangan dalam syarikat palsu untuk mengelirukan orang ramai selain melibatkan mereka dalam kumpulan sembang media sosial dengan berpura-pura mewakili syarikat perancangan kewangan yang sah.

“Mereka turut menawarkan skim pelaburan meragukan yang menawarkan pulangan tinggi dan berkongsi testimoni pelabur palsu untuk menunjukkan bukti resit pemindahan dan membuat keuntungan untuk meraih keyakinan mangsa berpotensi,” katanya.

Menurut persatuan itu, nama sembilan syarikat perancangan kewangan yang kesemuanya adalah ahli FPAM, diklon untuk mempromosikan skim yang menyalahi undang-undang.

“Nama sebenar syarikat adalah Wealth Vantage Advisory Sdn Bhd, Genexus Advisory Sdn Bhd, Excellentte Consultancy Sdn Bhd, Alpine Advisory Sdn Bhd, UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd, CC Advisory Sdn Bhd, Harveston Wealth Management Sdn Bhd, iFast Capital Sdn Bhd dan Kenanga Investors Bhd,” katanya.

Bagi melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan, FPAM menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) senarai individu berlesen dan berdaftar selain membuat semakan dengan syarikat perancangan kewangan tersebut sebelum membuat sebarang pembayaran atau pelaburan.

“Mangsa penipuan hendaklah segera melaporkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 dan turut membuat laporan kepada SC,”  katanya. – BERNAMA