CYBERJAYA – Universiti Multimedia (MMU) memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Universiti Al-Quds dari Palestin bagi melaksanakan kerjasama dalam pembangunan program akademik dan pelajar.
Menerusi MoU itu, kedua-dua universiti akan mengadakan program pertukaran pelajar, program artikulasi, ijazah berkembar dan program pasca siswazah serta aktiviti penyelidikan serta geran padanan.
Perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud, Presiden MMU di kampus MMU Cyberjaya dan Prof. Imad Abukishek, Presiden Al-Quds University di pejabatnya di Palestin.
Mazliham berkata, perjanjian tersebut membolehkan MMU mengembangkan lagi peranannya dalam bidang pendidikan berasaskan teknologi ke luar negara terutama ke negara Timur Tengah.
“Kami yakin wilayah Timur Tengah mempunyai banyak potensi dan peluang untuk diterokasi dan hari ini MMU amat gembira kerana meneroka kolaborasi dengan rakan baharu kami, Al-Quds University dalam bidang kejuruteraan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), multimedia dan program-program berkaitan teknologi,” katanya selepas majlis menandatangani MoU itu di kampus MMU di Cyberjaya pada 29 Mac 2023.
Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Walid A.M. Abuali, Duta Palestin ke Malaysia, Brunei dan Maldives, manakala Dr. Basri Saleh, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Palestin dan Dr. Shaher Zyoud, Ketua Pengarah Penyelidikan Sains kementerian berada di lokasi masing-masing di Palestin.
Turut hadir Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid, Naib Presiden Ekplorasi Pemasaran, Libat Urus dan Titik Sentuh MMU. – MalaysiaGazette