Dr. Ruzairi Abdul Rahim (kiri tengah) mewakili UTHM dan Ketua Pegawai Eksekutif, Md. Derick Basir (kanan tengah) mewakili JPB ketika menandatangani Surat Hasrat (LoI) pada 8 Mac 2023.

BATU PAHAT Johor Port Berhad (JBP) memberi sumbangan wang tunai berjumlah RM22,000 kepada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi membantu pelajarnya yang terjejas akibat bencana banjir.

Sumbangan tersebut sebagai tanda prihatin JBP kepada pelajar UTHM yang terkesan dengan banjir yang melanda Batu Pahat awal Mac lalu.

Naib Canselor UTHM, Profesor Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim mewakili universiti berbesar hati menerima sumbangan tersebut dan berharap pemberian sejumlah wang itu dapat meringankan beban yang ditanggung pelajar.

Tambah beliau, seramai 110 pelajar bakal menerima wang sumbangan itu, yang mana setiap seorang akan memperoleh sebanyak RM200.

Untuk rekod, pada 8 Mac 2023 lalu UTHM telah memeterai Surat Hasrat (LoI) bersama Johor Port Berhad (JPB) dan JP Skills Centre (JPSC) bagi menjalinkan kerjasama dalam pembelajaran berasaskan kerja (work based learning) bagi pelajar program Sarjana Muda Pengurusan Logistik yang bakal ditawarkan oleh Jabatan Pengurusan dan Teknologi, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan.

Ia turut membuka peluang kerjasama dalam bidang akademik dan penyelidikan antara UTHM dan JPB.

Kerjasama tersebut bagi memberi faedah kepada kedua-dua belah pihak seperti peluang latihan kepada staf dan pelajar UTHM, penyelidikan bersama antara staf dan industri serta pemindahan teknologi dan ilmu terkini daripada industri ke kampus.

LoI itu juga selaras dengan misi UTHM yang ingin menyediakan penyelesaian teknikal untuk keperluan industri dan komuniti berasaskan paradigma tauhid.

Kerjasama tersebut juga selari dengan sasaran hala tuju universiti yang baharu iaitu untuk menjadi sebuah Global Technopreneur University pada tahun 2030 (GTU 2030). – MalaysiaGazette