Kumpulan penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus diiktiraf dan menyerlah apabila meraih 1 Anugerah Inovasi Cemerlang, 2 Anugerah

MELAKA – Rangkaian produk inovasi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus diiktiraf dan menyerlah apabila meraih satu Anugerah Inovasi Cemerlang, dua Anugerah Khas dan 10 pingat di Malaysia Technology Expo (MTE) 2023, baru-baru ini.

MTE 2023 hibrid menyaksikan kumpulan pencipta inovasi dari seluruh dunia mengenengahkan hasil ciptaan produk inovasi mereka yang berimpak global dengan lebih 500 penyertaan dari pelbagai negara.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, ini merupakan antara rentetan kejayaan kumpulan penyelidik UTeM dalam usaha memperhebatkan bidang penyelidikan dan inovasi universiti secara berterusan.

Jelasnya, pencapaian ini merupakan titik sentuhan yang mencerminkan bahawa rangkaian produk inovasi UTeM adalah terus diiktiraf dan berimpak dunia yang berpakejkan kemaslahatan buat komuniti sejagat.

“UTeM mempamerkan persembahan bergaya apabila merangkul satu Anugerah Inovasi Cemerlang, dua Anugerah Khas dan kesemua produk yang dipertaruhkan berjaya membawa pulang pingat kemenangan.

“Dalam erti kata lain UTeM menjulang kemenangan pingat sepenuhnya dengan tujuh pingat emas, dua pingat perak dan satu pingat gangsa di MTE 2023 ini,” ujarnya.

Produk inovasi dikenali sebagai Banana Leaf Packaging telah memenangi MTE 2023 Anugerah Inovasi Cemerlang dan kumpulan penyelidik ini diketuai oleh Dr. Ridhwan Jumaidin.

Produk inovasi Toyyib Value Chain Gateaway yang diketuai Prof. Madya Ts. Dr. Mohammed Hariri Bakri telah memenangi Anugerah Khas (State Social Protection Fund, Ministry of Labour and Social Protection of Population, Republic of Azerbaijan).

Sementara itu produk inovasi dikenali PROTECT yang diketuai Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Yuhazri Yaakob pula telah berjaya memenangi Anugerah Khas (MTUN TVET International Award) dan ketiga-tiga produk inovasi tersebut turut merangkul pingat emas.

Empat pingat emas lagi telah disumbangkan menerusi produk inovasi Green Concrete (Grec’ko) diketuai Prof. Madya Dr. Jariah Mohamad Juoidan Solar Powered Automated Fertigation System (i-SIRAM) diketuai Kamilah Jaffar.

Bersama produk inovasi Used Cooking Oil Methyl Ester as Low Viscosity Dielectric Liquid for Oil-Immersed Transformers diketuai Dr. Sharin Ab Ghani dan Oleophilic Polymer Waste-Oil Solidifier (OPWOS) diketuai Ts. Dr. Nurul Hanim Binti Razak.

Dua pingat perak pula disumbangkan menerusi produk inovasi BiGREEN Diesel dan Passive Cooling of Photovoltaic Solar Panel Using Aluminium Heat Sink manakala pingat gangsa pula diraih menerusi produk inovasi Vowel Recognition System (VoRecS). – MalaysiaGazette