Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama hampir 1,000 warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Gambang, Kuantan.

KUANTAN – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyantuni dan mengurniakan sumbangan kepada 60 pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Turut berangkat Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

Hadir mengiringi baginda Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman.

Baginda kemudian berkenan berbuka puasa bersama hampir 1,000 orang dan menunaikan solat Maghrib secara berjemaah bersama warga UMP.

Sementara itu, Naib Canselor UMP, Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin berkata, mahasiswa dan akademia UMP akan meneruskan kecemerlangan akademik serta terus mengungguli bidang penyelidikan dan inovasi pada masa akan datang dengan meraih pelbagai kejayaan.

“Ini termasuklah dengan melahirkan lebih ramai lagi penyelidik daripada UMP yang diiktiraf sebagai saintis terbaik dunia.

“Bersempena bulan Ramadan UMP telah mengagihkan sebanyak RM200,000 bagi aktiviti penyediaan Iftar Ramadan dan Sahur secara percuma selama sebulan dengan lebih 1,600 pelajar mendapat manfaat itu,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Jelasnya, inisiatif itu hasil daripada sumbangan agensi dan korporat, potongan gaji warga kerja UMP dan orang ramai.

Pihak universiti juga mengharapkan agar warga UMP dapat menyuburkan semangat bersedekah, berazam menyumbang wakaf dan memperbanyakkan amalan bagi meningkatkan taraf kualiti kehidupan. – MalaysiaGazette