Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan hadir ke mahkamah atas didakwa berhubung Projek Inisiatif Jana Wibawa dan rasuah RM2 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 23 MAC 2023.

SHAH ALAM – Kes ahli perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad yang menghadapi dua pertuduhan menerima rasuah masing-masing berjumlah RM2 juta dan RM2.1 juta berhubung Jana Wibawa, di sini, akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Rozilah Salleh membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas alasan kesalahan jenayah tersebut dilakukan dalam satu transaksi yang sama iaitu melibatkan kesalahan, syarikat dan saksi-saksi serupa.

Rozilah menetapkan 29 Mei untuk sebutan semula kes di hadapan Hakim Azura Alwi dan Suzana Hussain.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan Maziah Mohaide manakala peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan itu.

Pada 22 Februari lepas, Adam Radlan didakwa di sini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan projek Jana Wibawa.

Sementara itu di Kuala Lumpur, lelaki itu didakwa di dua Mahkamah Sesyen pada 21 dan 28 Februari lepas atas dua pertuduhan rasuah dan satu pertuduhan meminta suapan berjumlah RM2 juta. – Bernama