Aktivis Politik, Farhan Khairuddin bercakap pada Forum AUKU ketika di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 13 APRIL 2023.

BANGI – Perbincangan mengenai Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 perlu dibuat secara menyeluruh dengan pembabitan semua pihak berkaitan terutama mahasiswa, kata Farhan Khairuddin.

Menurut aktivis politik itu,  langkah bagi membolehkan pandangan yang mengimbangi supaya ia tidak dilihat berat sebelah atau terlalu dipolitikkan.

“Untuk kita mengulas lebih lanjut (mengenai AUKU 1971), perbincangan ini mesti diadakan secara terbuka supaya tidak one-sided, supaya ada pihak-pihak yang boleh memberi pandangan yang mengimbangi.

“Pentadbiran hari ini pun sudah terbuka kerana kita bukan lagi duduk dalam kerajaan yang sama begitu lama. Kita sudah melalui beberapa perubahan kerajaan dan saya fikir siapa-siapa pun jadi menteri dan kerajaan, mereka akan terbuka dalam soal membincangkan perkara-perkara pokok tentang pelajar ini,” katanya.

Farhan yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Forum AUKU: Apakah Pengakhirannya? di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini malam tadi.

Turut hadir adalah Pengerusi MUDA yang juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Exco Dewan Pemuda Pas, Nazrul Nazir.

Antara pelajar yang hadir pada Forum AUKU ketika di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 13 APRIL 2023.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mahasiswa sebagai pemegang taruh perlu berada dalam keadaan bersedia mendepani sebarang pindaan AUKU.

Katanya, mahasiswa wajar membincangkan perkara-perkara yang perlu dilaksanakan, dan mendidik kecaknaan secara menyeluruh untuk dukungan kesatuan bagi memperoleh autoriti dan ruang kebebasan itu.

“Adakah mahasiswa benar-benar bersedia dari sudut fizikal, mental? Dan bukan sahaja soal itu tetapi nilai AUKU itu. Yang berjuang soal AUKU ini mungkin hanya 10 hingga 15 peratus, tetapi lain-lain mahasiswa juga perlu diberikan pengetahuan dan kecaknaan bagi mendapatkan autoriti dan ruang ini.

“Apakah mahasiswa kebanyakan benar-benar memahami dan mendalami, apakah sebenarnya isu AUKU ini? Isu AUKU sekarang ini bukan soal nak mansuh sahaja. Hari ni pelajar sedang bercakap tentang perkara-perkara yang yang benar-benar legitimate iaitu untuk meminda.

“Kesediaan itu perlu dilihat dari sudut bagaimana mahasiswa benar berpasitipasi dalam soal menguruskan sumbangan, pendanaan ataupun kedudukan pelajar hari ini.

“Adakah mahasiswa bercakap lagi tentang autonomi? Atau hanya gerakan pelajar sahaja yang menyertai pilihan raya kampus? Bagi mereka yang menjadi pengundi, adakah mereka akses kepada perkara ini?” soalnya.

Sementara itu, beliau menyifatkan komitmen Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam isu AUKU bagi memperkasakan mahasiswa dan ruang prerogratif untuk pengurusan organisasi sudah berada di hujung proses.

Sebelum ini, media melaporkan rang undang-undang (RUU) berhubung cadangan pindaan Seksyen 15 dan 16 di bawah AUKU yang akan memberikan kebebasan kepada mahasiswa dalam beberapa perkara termasuk aktiviti berpersatuan, dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Mohamed Khaled berkata RUU AUKU 1971 itu akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara pertengahan Jun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast