PELABUHAN KLANG – Sebarang pengumuman mengenai rebat bayaran tol di seluruh negara menjelang Hari Raya Aidilfitri hanya akan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Pengangkutan, Anthony LokeĀ berkata, beliau tidak diberi mandat untuk mengumumkannya.
“Pengumuman (rebat tol) akan dibuat oleh Perdana Menteri dan sudah tentu ada berita baik untuk pengguna tetapi bukan saya, saya tak ada mandat untuk mengumumkan (rebat tol).
“Jadi ia akan diumumkan sama ada oleh Perdana Menteri atau Menteri Kerja Raya,” katanya pada sidang media di Westport Sdn Bhd di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi memberitahu, sebanyak kira-kira 2 juta kenderaan akan menggunakan semua rangkaian lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) pada 20 April hingga 21 April, 24 April hingga 25 April, 29 April hingga 1 Mei dan 4 Mei hingga 7 Mei 2023 sempena Hari Raya Aidilfitri.
Zakaria berkata, jumlah kenderaan ini merupakan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding jumlah trafik pada hari-hari biasa. – MalaysiaGazette