Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff

KUANTAN – Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal di Temerloh pada Rabu menyalurkan kepada pihak berkuasa itu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisoner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, mereka diminta tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan atau menghubungi talian 09-2716086.

Dalam kejadian 12 April lalu, seorang penunggang motosikal maut apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori  di Kilometer 156 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan.

“Kemalangan berlaku semasa pemandu lori yang membawa muatan batu kecil dari arah Kuala Lumpur bergerak memasuki simpang ke kanan telah melanggar sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan.

“Kes masih dalam siasatan lanjut dan disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Azhar berkata, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa peka dan lebih berhati-hati semasa memandu serta mematuhi segala peraturan dan papan tanda bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. – MalaysiaGazette