Datuk Abdul Wahab Mat Yasin

KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membekukan 80 peratus cuti pegawai dan anggota bomba di seluruh negara bagi siap siaga sepenuhnya untuk menghadapi sebarang kecemasan dan kebakaran sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata pembekuan cuti itu melibatkan 10,174 keanggotaan dan berkuat kuasa mulai hari ini hingga 30 April.

“Persediaan awal yang dilaksanakan oleh JBPM bagi mencegah berlakunya kebakaran semasa musim perayaan, antaranya melalui kempen kesedaran keselamatan kebakaran yang disasarkan kepada komuniti perumahan, pusat-pusat perniagaan dan lain-lain.

“Masyarakat diingatkan untuk sentiasa meningkatkan aspek keselamatan pencegahan kebakaran di premis dan kediaman masing-masing sebelum pulang ke kampung agar tidak berdepan sebarang kerugian,” katanya kepada Bernama.

Selain kempen yang dijalankan secara fizikal, e-pembelajaran juga dilaksanakan melalui medium media sosial seperti Facebook, Telegram, Youtube dan TikTok.

“Risiko berlakunya kebakaran meningkat pada musim perayaan dan penting untuk semua pihak meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mengambil langkah mencegah kebakaran,” katanya.

Ditanya sama ada JBPM ada mengenal pasti kawasan hotspot berpotensi berlaku kebakaran, Abdul Wahab berkata tiada hotspot kebakaran struktur boleh dikenal pasti memandangkan kebakaran struktur berlaku di atas beberapa faktor dan tidak terikat dengan hanya satu faktor seperti peningkatan suhu.

“Walau bagaimanapun JBPM tetap bersedia dan mengambil kira premis-premis yang menjadi tumpuan orang ramai untuk sambutan Hari Raya dan sempena Ramadan.

“JBPM juga meningkatkan tahap penguatkuasaan dengan menjalankan pemeriksaan menghapus bahaya kebakaran sebagai langkah bagi mencegah kebakaran,” katanya.

Selain itu, JBPM juga melaksanakan penempatan pasukan bersedia yang menjalankan rondaan secara berjadual beberapa lokasi di sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan dan Lebuh Raya Pantai Timur yang dikenal pasti sebagai laluan utama.

“Fokus utama pelaksanaan ini adalah bagi mempercepatkan tempoh tindak balas pasukan dan golden hours bagi menyelamatkan nyawa mangsa,” katanya.

Sementara itu, Abdul Wahab berkata JBPM tidak melaksanakan rondaan khusus berkaitan penggunaan mercun dan bunga api, justeru beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika musim perayaan bagi mengelakkan sebarang kemalangan yang tidak diingini berlaku.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast