SELAYANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bekalan barangan keperluan bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri mencukupi.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya ada membuat libat urus dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) bagi memastikan keperluan pengguna dimusim perayaan itu tidak terputus.
“Setakat pagi tadi, saya difahamkan bekalan mencukupi menjelang hari raya ini.
“Jika ada apa-apa perubahan pastinya KPDN akan memberi notis awal ataupun memberitahu lebih awal mana-mana barangan yang tidak mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberuta selepas melakukan lawatan di sebuah pasar raya di sini sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Aidilfitri di sini hari ini.
Dalam pada itu Salahuddin turut menasihatkan pengguna agar tidak bimbang kerana data menunjukkan bekalan cukup sempena musim perayaan kali ini. – MalaysiaGazette