Norahati Embong (tengah) bersama dua adiknya menzahirkan kesyukuran menerima penerima bantuan bina baharu rumah asnaf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di Kampung Alor Ladang, Beserah hari ini

KUANTAN – Sambutan Hari Raya Aidilfiti yang bakal tiba amat bermakna apabila hasrat tiga beradik perempuan untuk mendiami rumah sendiri tercapai.

Norahati Embong, 64,  merupakan penerima bantuan bina baharu rumah asnaf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di Kampung Alor Ladang, Beserah kini mampu  tersenyum bersama dua adik perempuanya.

Dua adiknya, Nur Shahida Embong, 43, dan Norizan Embong, 63, juga berkongsi kegembiraan apabila rumah bernilai RM90,000 dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini.

Terdahulu  pada 17 Ramadan tahun lalu, Seri Paduka Baginda mencemar duli melawat beliau dan kemudian menawarkan sebuah rumah kepada mereka.

Nur Shahida memaklumkan mereka tiga beradik sebelum ini hanya mendiami rumah di atas tanah milik orang lain kini bersyukur kerana rumah yang dibina berhampiran kawasan yang sama.

“Alhamdulillah. Terima kasih banyak Tuanku berdua. Kami bertiga menghargai sangat sumbangan rumah ini. Tak terbalas jasa kami sebab kami tak pernah terfikir dapat rumah.

“Dengan adanya rumah ini dapat merasa tinggal di atas rumah dan tanah sendiri. Terima kasih sangat termasuk kepada ketua kampung sini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, mereka sekeluarga turut berterima kasih kepada MUIP kerana berusaha mencari tapak dan membina rumah di kawasan yang sama.

Rumah tiga bilik berkeluasan 20×33 kaki persegi dibina dalam tempoh kurang dari tiga bulan mempunyai tiga bilik, dapur dan bilik air serta lengkap dengan kelengkapan perabot.

Rumah tiga bilik berkeluasan 20×33 kaki persegi merupakan rumah asnaf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) di Kampung Alor Ladang, Beserah bernilai RM90,000

Pasangan diraja itu berkenan mencemar duli dan berangkat mengurniakan replika kunci rumah kemudiannya menyantuni penduduk di Dewan Orang Ramai Kampung Baru.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah turut berangkat mengiringi Seri Paduka berdua pada majlis yang sama. – MalaysiaGazzette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast