KUALA LUMPUR – Jangkaan Malaysia mengalami cuaca panas berpanjangan sehingga Ogos ini susulan musim peralihan monsun tidak menghalang orang ramai membuat persiapan akhir bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri minggu depan.
Malah, meskipun dengan cuaca panas terik dan berpuasa, kebanyakan orang Melayu masih membeli-belah sakan di ibu negara.
Krew MalaysiaGazette yang melakukan tinjauan di ibu kota mendapati, keadaan lalu lintas sesak seawal jam 10 pagi apabila orang ramai mula membeli belah pakaian, barangan persiapan menyambut 1 Shawal ini.
Menurut Mohd Afiq Badrul Isham dari Ampang, keadaan cuaca panas langsung tidak membebankan, sebaliknya dia masih turun ke beberapa lokasi untuk membuat perbandingan harga barangan sebelum membelinya pada hujung minggu ini.
“Contohnya macam di sini (Masjid India), harga barangan memang memuaskan dan kita boleh buat perbandingan harga lagi-lagi dalam keadaan gawat seperti ini. Jadi isu cuaca tidak ada, panas tidak panas, kita semua tetap shopping raya.
“Anda boleh tengok sendiri sesak atau tidak tempat ini. Panas atau hujan lagi-lagi ketika puasa tidak ada halangan, lagipun untuk beberapa tahun ini kita tidak sambut Hari Raya jadi kali ini ramai hendak gunakan peluang beraya,” katanya ketika ditemui di Jalan Masjid India di sini hari ini.
Bagi ibu kepada tiga cahaya mata, Ayu Noor Tasha Mokhtar yang sanggup datang dari Rawang seawal jam 9 pagi memberitahu, sudah menjadi amalan kepada keluarganya untuk membeli belah sekitar ibu kota yangmenawarkan keperluan mengikut kemampuan masing-masing.
“Memang satu cabaran terutamanya ketika sedang berpuasa, datang pula dari Rawang dengan keadaan sesak bersama anak-anak kecil tapi cuaca panas atau hujan tidak menjadi masalah.
“Yang menjadi masalah utama sebenarnya keadaan harga barang semakin meningkat.
“Barang-barang semua sudah naik harga, kami juga tidak ada pilihan kerana Hari Raya Aidilfitri, anak-anak juga teringin hendak beraya. Jadi kami terpaksa mencari kedai-kedai murah dan berkualiti. Harap sangat kerajaan akan berbuat sesuatu tentang perkara, tolonglah,” ujarnya.
Untuk peniaga tepi jalan, Mushab Abdul Hakim pula berpandangan cuaca panas jauh lebih baik daripada hujan yang menyebabkan perniagaan rugi, lagi-lagi baginya yang hanya berniaga ketika musim perayaan.
“Kalau hujan, habis kena tutup. Ini kedai tepi jalan sahaja, memang susah. Panas terik memang terasa bahangnya tapi syukur kerana kita masih ada pelanggan lagi-lagi ketika sebelah petang dan malam. Ramai peniaga untung dengan cuaca seperti ini,” katanya.
Seorang lagi, Susi Mariammah Soolai yang juga bekerja dengan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, dia datang ke kawasan itu untuk meraikan golongan anak-anak asnaf dan yatim.
“Memang cuaca sangat panas, anak-anak kecil ini juga kasihan tapi kita hendak mereka gembira pada hari perayaan ini. Nasib tidak hujan. Masing-masing mahu gembira jadi cuaca macam mana pun kita perlu lakukan persiapan,” jelasnya. -MalaysiaGazette