Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jualan barangan emas dijangka melonjak pada minggu terakhir menjelang perayaan Aidilfitri.

Pengarah Urusan Kumpulan Tomei, Datuk Ng Yih Pyng berkata, suasana pasaran untuk barangan kemas itu masih berada dalam keadaan sunyi pada masa ini, tetapi keadaan tersebut dijangka akan berubah menjelang minggu depan.

Beliau berkata, walaupun pusat membeli-belah kelihatan dibanjiri orang yang melakukan persiapan untuk Aidilfitri, tetapi momentum jualan emas tidaklah sekuat seperti yang diharapkan.

“Memang betul terdapat ramai pengunjung di pusat membeli-belah dan tidak kurang yang memasuki kedai kami, sehingga menimbulkan persepsi bahawa perniagaan adalah sangat baik.

“Hakikatnya bukan sedemikian, kerana keadaan jualan boleh dikatakan masih sunyi lagi,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Walau bagaimanapun, Yih Pyng berkata, keadaan masih adalah positif walaupun pasaran dianggap tidak pulih ke tahap yang diharapkan.

“Ramai pelanggan Melayu mengunjungi kedai dan bertanya harga serta melihat produk yang ada semasa melakukan persiapan raya, tetapi tidak berlaku pembelian yang banyak.

“Bagaimanapun, keadaan jualan dijangka bertambah memberangsangkan bermula 17 April nanti apabila syarikat-syarikat besar membayar gaji lebih awal,” katanya.

Menurutnya, sektor peruncitan secara umumnya berada dalam keadaan pemulihan yang positif walaupun pengurangan subsidi oleh kerajaan, peningkatan kos hidup dan iflasi memberi tekanan.

“Sebagai syarikat kedai barangan kemas, kami mengharapkan Aidilfitri, cuti sekolah dan perayaan hari ibu dan hari bapa yang bakal tiba akan memberi suntikan kepada hasil jualan,” katanya. – MalaysiaGazette