Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sambutan Aidilfitri yang bakal tiba dijangka sangat “meriah” berdasarkan keadaan jualan mercun secara dalam talian dan juga jumlah permit jualan yang diluluskan polis.

Bagaimanapun, penjualan semua jenis bunga api dan mercun secara dalam talian adalah tidak dibenarkan dan orang ramai dinasihatkan polis untuk tidak melanggan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis juga akan mengambil tindakan dengan menjejak alamat IP penjual dan melakukan tangkapan.

Ditanya China Press mengenai permit yang dikeluarkan polis, Eng Lai berkata, ibu pejabat polis daerah Sentul di ibu negara telah mengeluarkan hampir 100 permit jualan bunga api dan mercun selepas melakukan semakan dan saringan secara teliti.

Katanya, peniaga hanya boleh menjual 36 jenis mercun dan bunga api yang dibenarkan dan tidak boleh menjual sembilan jenis yang dikawal.

Selain itu, jumlah pengeluaran permit jualan di kawasan Sentul juga dilaporkan melebihi jumlah yang dikeluarkan semasa Tahun Baharu Cina sebelum ini.

Selain itu, China Press juga melaporkan, penjualan mercun dan bunga api termasuk jenis yang tidak dibenarkan berlaku secara berleluasa dalam Internet.

Antara mercun haram yang dijual termasuk jenis yang boleh menghasilkan 100 letupan secara berterusan dan juga mercun merah yang berukuran panjang.

Secara umumnya, tawaran jenis bunga api dan mercun dalam Internet adalah jauh melebihi jumlah dan jenis yang dibenarkan kerajaan.

Dalam pada itu, dua pelajar kolej di Cyberjaya dilaporkan ditegur dan diberi amaran oleh polis peronda selepas melontarkan mercun dari tingkat 20 pangsapuri dan mengganggu jiran.

Dua pelajar tempatan berumur 20 dan 21 itu dilaporkan telah melakukan gangguan tersebut selama beberapa malam berturut-turut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast