Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berucap pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 12 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kepincangan dalam UMNO sebelum ini disebabkan sikap beberapa pemimpin yang tidak boleh menerima perubahan.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, mendepani penggal baharu saf kepimpinan yang ada, perkara pentingkan diri seharusnya tidak lagi berlaku dalam parti itu.

“Saya melihat ada sebahagian yang tidak boleh menerima perubahan lagi-lagi apabila mereka tidak lagi diletakkan sebagai calon (bertanding) dan mulai marah, boikot, pentingkan diri, ada yang lari dan ada juga yang menjadi ejen dalaman.

“Inilah kepincangan kepada kejayaan kepada satu-satu parti politik,” katanya menerusi satu wawancara di UMNO Online malam tadi.

Beliau bagaimanapun melahirkan keyakinan terhadap ahli-ahli yang masih ada untuk terus membawa UMNO menang besar pada pilihan raya akan datang.

“Sebagai Ketua Penerangan UMNO yang baharu, daya melihat kelebihan UMNO adalah kepada musyawarah di mana kita berbincang.

“Saya sudah 23 tahun dalam parti ini, bermula dengan jawatan Ketua Puteri UMNO yang pertama kemudian Ahli Majlis Kerja Tertinggi, banyak proses yang dilalui adalah dengan berbincang.

“Kalau ada masalah, kita akan bawa kepada peringkat pengurusan untuk dibincangkan,” katanya.

Katanya, tidak ada mana-mana pemimpin yang boleh menganggap jawatan yang disandang itu kekal selamanya.

“Jika ada yang memikirkan sebegitu, dia berdepan dengan masalah besar.

“Apa yang dilakukan, keutamaan adalah untuk parti,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Azalina berkata, dengan kepimpinan baharu beserta dengan Akta Antilompat Parti, ia menyelematkan UMNO.

“Kita ada 3.5 juta ahli, dengan 40 peratus adalah wajah baharu yang menjadi Ketua Bahagian dan juga kepimpinan di sayap-sayap.

“Dengan sesi baharu 2023-2026 ini, mereka sudah faham, UMNO bukan lagi sebagai parti utama dalam kerajaan yang bukan memerintah 100 peratus,” katanya lagi.

Sementara itu, Azalina turut mengingatkan kepimpinan parti khususnya bahawa agenda utama UMNO bukan lagi kepada Melayu tetapi mengutamakan kepentingan rakyat.

“Kita sudah berubah. Agenda baharu UMNO adalah mendengar apa rakyat mahu.

“Ini akan menjadikan UMNO relevan pada 2023, lagi pula parti Melayu ada banyak sekarang ini, kalau kekal dengan cara lama, rakyat boleh buat pilihan,” ujarnya.

Tambah beliau, UMNO perlu membawa elemen utama adalah tuntutan rakyat yang mahu keadilan, serta kebajikan dijaga. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast