KUALA LUMPUR – Hanya iringan doa dan kasih daripada rakyat yang diminta oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, Najib hanya ingin meneruskan perjalanan menuntut keadilan penuh buat dirinya.
“Semoga Allah SWT berikan kekuatan kepada Datuk Seri Najib, permudahkan segala urusannya,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu sedang dalam proses memohon pengampunan diraja terhadap sabitan kes SRC International Sdn Bhd setelah permohonan semakan kehakimannya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 31 Mac lalu.
Beliau turut mengimbau kembali kesediaan Najib membantu golongan yang susah sepanjang masa apabila diperlukan.
“Dari anak sekolah ke warga emas, dari kampung ke miskin bandar,” jelasnya.
Malah, katanya, Najib bersuara walaupun beliau sendiri tiada jawatan serta dizalimi untuk mempertahankan hak, keperluan dan permintaan rakyat.
“Beliau berikan sokongan, galakan dan restu bila diminta dan di mana baik, sentiasa utamakan kepentingan negara, rakyat, parti dan jalinan persahabatan,” katanya. – MalaysiaGazette