KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM8,000 terhadap seorang bekas hos kelab komedi, Siti Nuramira Abdullah.
Untuk makluman, Siti Nuramira pernah tular di media sosial selepas bertindak luar dugaan dengan menanggalkan baju kurung dan tudung kerana membuat sebuah persembahan di kelab berkenaan.
Hakim Mahkamah Sesyen, N Priscilla Hemamalini membuat ketetapan itu selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan dan memerintahkan Siti Nuramira akan berdepan hukuman penjara empat bulan jika gagal bayar denda itu.
Mengikut kertas pertuduhan, Siti Nuramira dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama orang lain dengan menyebut bahawa kamu adalah seorang Muslim telah menghafal 15 juzuk al-Quran dan kemudiannya membuka tudung dan menanggalkan baju kurung sewaktu persembahan di atas pentas Crack House Comedy Club pada pukul 6 petang, 4 Jun 2022.
Dia didakwa telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai setahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.
Ketika prosiding hari ini, peguam mewakili tertuduh, R. Sivaraj berharap anak guamnya layak untuk mendapat hukuman ringan berbentuk denda kerana menjimatkan masa mahkamah serta merupakan kesalahan pertamanya.
Tambah Sivaraj, anak guamnya juga baru sahaja berkahwin empat bulan lalu dan mahu kehidupan yang aman. Nuramira juga telah menghilangkan diri dari media sosial supaya tidak mencetuskan sebarang kontroversi lagi.
Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik bagaimanapun memohon supaya mahkamah memberikan hukuman setimpal dengan mengambilkira kesalahan tersebut telah mendapat perhatian orang ramai. – MalaysiaGazette