Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama sasterawan negara, Datuk Seri A. Samad Said pada Majlis Pelancaran Karya Agung Sayr Al-Salikin dan Hikayat Iskandar Zulkarnain di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka. Foto MOHD ADZLAN, 17 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan meluluskan tambahan peruntukan RM5 juta kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Yayasan Karyawan bagi meningkatkan usaha menerbitkan karya bermanfaat kepada negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejumlah RM20 juta diberikan kepada DBP seperti diumum menerusi Belanjawan 2023 sementara RM3 juta lagi diberi kepada Yayasan Karyawan dan RM2 juta untuk menyebarluas karya sasterawan negara ini.

“Yayasan Karyawan minta RM3 juta, saya luluskan RM3 juta kepada yayasan. Saya juga sedia RM2 juta peruntukan tambahan untuk tujuan popularkan karya sasterawan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Pelancaran Karya Agung Sayr Al-Salikin dan Hikayat Iskandar Zulkarnain di Wisma DBP di sini hari ini.

Turut sama hadir, Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan dan Pemegang Amanah Yayasan Karyawan, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Pelancaran Karya Agung Sayr Al-Salikin dan Hikayat Iskandar Zulkarnain di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka. Foto MOHD ADZLAN, 17 APRIL 2023.

Anwar menambah, peruntukan tersebut adalah inisiatif untuk membantu mengangkat karya-karya sasterawan negara selain memperluaskan lagi penghasilan karya yang bermanfaat kepada negara.

“Saya membuat pengarahan baharu di bawah Belanjawan 2023 supaya usaha menterjemah karya-karya agung dan klasik melibatkan dunia Islam dan khazanah alam Melayu perlu diperhebat.

“Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan & Buku Malaysia serta Yayasan Karyawan diberi mandat untuk segandingan mempergiat aktiviti terjemahan supaya rakyat dapat menelaah dan meneladani lebih banyak bahan bacaan yang ilmiah dan RM20 juta telah disediakan untuk tujuan ini,” katanya.

Pada Belanjawan 2023, kerajaan telah menyalurkan RM20 juta untuk tujuan aktiviti penerbitan bermutu tinggi oleh penulis tempatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast