Anthony Loke

PUTRAJAYA – Pembentukan Kerajaan Perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bukan kahwin paksa, sebaliknya kerjasama politik untuk mewujudkan pentadbiran yang stabil dan kukuh.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, istilah kahwin paksa tidak pernah wujud antara DAP dan UMNO kerana ia hanya kerjasama politik atas nasihat Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

“Perkahwinan adalah satu institusi yang patut dilindungi, bagaimanapun dalam kerjasama politik, konsep perkahwinan tidak sesuai dan tidak terpakai dalam kerjasama politik

“Ia bukan perkahwinan, ia kerjasama politik kerana keperluan membentuk kerajaan yang stabil dan kerjasama yang dianjurkan oleh YDPA,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Kerajaan Perpaduan antara PH dan BN sebagai perkahwinan paksa yang mungkin sukar untuk bertahan lama susulan pergeseran yang berlaku antara pemimpin DAP dan UMNO ketika ini.

Ismail Sabri berkata, keretakan gabungan itu boleh dilihat apabila sekurang-kurangnya dua pemimpin kanan UMNO Johor menegur beberapa pemimpin DAP dan PKR kerana melontarkan komen yang disifatkan sebagai menghina parti Melayu itu.

Dalam pada itu, Loke mengingatkan Ismail Sabri bahawa pembentukan Kerajaan Perpaduan atas nasihat dan perkenan YDPA dan ia harus dijunjung dan dihormati semua pihak.

“Kita menjunjung rukun negara, kesetiaan kepada raja dan negara, kita setia kepada nasihat Agong untuk memperkukuhkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Janganlah sebagai mantan Perdana Menteri, beliau setiap hari ingin lihat perpecahan dalam kerajaan ini.

“Saya tak tahulah apakah hasrat beliau seolah-olah nak lihat perpecahan dalam kerajaan perpaduan pada hari ini,” katanya.

Tambahnya, Menteri Kabinet di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah berbincang soal pergeseran mahupun perpecahan dalam mesyuarat mingguan kerajaan itu.

“Kabinet berjalan dengan baik, Menteri Kabinet tidak pernah persoalkan isu ini, kita sentiasa meletakkan kepentingan negara dan nasional melebihi perkara lain.

“Mesyuarat mingguan Kabinet bincang melainkan uturan rasmi, kita fokus kepada pentadbiran negara ini.

“Kita tak bincang soal perpecahan, politik dan sebagainya, kita bincang agenda negara dan nasional termasuk harga tiket kapal terbang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast