Gambar hiasan. Foto HAZROL ZAINAL, 10 JUN 2021.

PETALING JAYA – Malaysia Aviation Group (MAG) mencatatkan keuntungan operasi bersih sebanyak RM556 juta bagi tahun kewangan 2022, manakala kerugian bersih selepas faedah dan cukai untuk tahun ini berkurangan 79 peratus kepada RM344 juta daripada RM1.65 bilion yang disaksikan semasa tahun sebelum ini.

Baki tunainya berjumlah RM4.6 bilion menjelang akhir 31 Disember 2022.

Pengarah Urusan Kumpulan, Kapten Izham Ismail berkata, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih selepas faedah dan cukai sebanyak RM1.15 bilion pada suku keempat 2022.

“Kumpulan itu juga menyaksikan kenaikan dalam semua segmen perniagaannya sepanjang tahun ini, manakala anak syarikat kargonya, MABkargo Bhd (MABkargo) mencatatkan prestasi lemah berbanding setahun lalu berikutan penurunan dalam permintaan fret global termasuk peningkatan kapasiti di pasaran pada separuh kedua 2022,” katanya semasa taklimat media Prestasi Tahunan 2022 hari ini.

Sementara itu, angka pendapatan Malaysia Airlines Bhd (MAB) menokok tiga kali ganda berbanding tahun kewangan 2021, disokong oleh permintaan yang agak positif dalam sektor antarabangsa untuk perjalanan penumpang dan pengangkutan kargo.

“MAB berjaya menembusi paras keuntungan operasi, pemulihan luar biasa daripada kerugian operasi sebanyak RM612 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya, manakala penumpang yang dibawa adalah 6.7 kali lebih tinggi daripada tahun sebelum ini,” katanya.

Pesawat penerbangan Firefly di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang. Foto MOHD ADZLAN, 06 FEBRUARI 2023.

Bagaimanapun, Firefly kekal dalam kedudukan rugi bagi 2022, berikutan catatan hasil  serta permintaan untuk operasi pesawat dan jet ATR agak rendah, manakala Amal merekodkan keuntungan tahun pertama selepas menyaksikan kerugian setahun lalu dengan penyambungan semula perjalanan haji dan umrah.

Pada masa sama, prestasi MABkargo kekal mantap walaupun permintaan kargo lemah pada suku keempat 2022 dan telah mencapai tan kargo lebih tinggi bagi setiap kilometer (CTKM) di samping mengekalkan hasil dari tahun ke tahun.

“Kumpulan telah menunjukkan prestasi cemerlang dan kami agak optimistik terhadap prestasi yang lebih baik untuk 2023 walaupun menghadapi cabaran daripada harga bahan api dan pertukaran wang asing,” kata Izham.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata MAG tidak sabar-sabar untuk menerima penghantaran empat daripada 25 Boeing 737-8 mulai suku ketiga 2023 dan seterusnya.

Pada pandangan MAB, dengan pembukaan semula sempadan China, syarikat penerbangan itu menyasarkan bagi mendapatkan semula baki kapasiti untuk keseluruhan rangkaiannya yang kini berada pada 85 peratus, dan menyambung semula sepenuhnya perkhidmatannya ke China serta Asia Utara menjelang akhir separuh pertama 2023, katanya lagi.

“Ini akan merangsang pertumbuhan ekonomi dan merangsang hubungan perniagaan termasuk perdagangan keseluruhan antara Malaysia serta China,” katanya.

Izham juga berkata kumpulan menyasarkan untuk mencapai dan mengekalkan skor indeks kepuasan pelanggan keseluruhan sebanyak 82 peratus, dengan beberapa inisiatif dibarisi bagi memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pelanggan.

“Tahun ini, MAG juga berhasrat untuk mengembangkan rangkaian serantau secara beransur-ansur melalui pengenalan teknologi pesawat baharu dan mengukuhkan kerjasama perkongsian,” katanya. – Bernama