KUANTAN – Sekurang-kurangnya RM400 juta daripada jumlah keseluruhan RM5 bilion melalui peruntukan tahunan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) yang disediakan Kerajaan Persekutuan telah diperuntuk kepada Pahang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya juga bersetuju melonggarkan syarat peruntukan terbabit atas permintaan kerajaan negeri yang telah disuarakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Beliau (Wan Rosdy) memohon menggunakan sebahagian peruntukan itu untuk pembelian jambatan Bailey di kawasan yang mengalami kerosakan jambatan akibat banjir pada Mac lalu.
“Pahang minta sedikit kelonggaran syarat, dulu tidak boleh beli apa-apa tetapi kerajaan Pahang mahu beli jambatan Bailey dan hadapi banjir, kita setuju dan telah beri kebenaran,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Pahang di Dewan Utama, Majlis Bandaraya Kuantan hari ini.
Hadir sama, Wan Rsody dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Tambah Anwar lagi, Kerajaan Persekutuan akan terus memberikan keutamaan kepada keperluan rakyat di Pahang.
Selain itu, katanya, Kerajaan Persekutuan akan menambah peruntukan penyelenggaraan bagi tahun 2023 bagi mengatasi isu jalan rosak melibatkan jalan persekutuan di negeri-negeri.
Jelasnya, peruntukan sebelum ini adalah berjumlah RM750 juta akan segera ditambah kepada RM1 bilion ringgit, bagi kerja penyelenggaraan semua jalan persekutuan di seluruh negara.
Anwar berkata, sebahagian daripada peruntukan tambahan bagi kerja penyelanggaran itu akan diagihkan kepada kerajaan negeri Pahang bagi mengatasi masalah jalan berlubang yang rosak akibat banjir.
Ia mengurangkan risiko berlakunya kemalangan di negeri itu akibat jalan rosak membabitkan jalan persekutuan.
“Masa saya Menteri Kewangan dulu, jalan negeri ini memang teruk, jalan persekutuan ini memang baik, sekarang jalan negeri dah elok dengan peruntukan MARRIS kita bagi.
“Jalan Persekutuan di Pahang lubang sana lubang sini, bukan sahaja di Pahang di Shah Alam, luar daripada Petaling Jaya, jadi saya dengar pandangan dia, sebab itu saya tambah lagi peruntukan sehingga RM1 billion untuk memperbaiki jalan-jalan persekutuan dengan tindakan segera,” katanya.
Sementara itu ketika berucap, Anwar juga menekankan agar semua amalan rasuah harus dibendung segera oleh semua lapisan masyarakat dan termasuk jabatan kerajaan.
“Orang bawah yang berpangkat rendah mungkin menerima rasuah RM50 manakala orang atas menerima RM500 juta tetapi mendakwanya sebagai komisen.
“Yang besar perlu diambil tindakan. Kita telah pun mengeluarkan amaran dan siapa orang itu bukan urusan saya, didakwa atau tidak itu bukan urusan saya,” katanya. – MalaysiaGazette