Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menggerakkan seramai 160 pegawai dan anggota untuk menjalankan pemantauan di jalan raya pada musim perayaan Aidilfitri.

Pengarah JPJ Terengganu Zulkarnain Yasin berkata,  kumpulan pegawai dan anggota tersebut dipecahkan kepada 21 pasukan dengan fokus terhadap kawasan yang kerap berlaku kemalangan.

“Mengikut maklumat daripada polis, terdapat 20 kawasan seluruh negeri yang dikenal pasti sebagai berisiko atau kerap kemalangan.

“Sebanyak 17 daripada kawasan tersebut melibatkan jalan negeri manakala tiga lokasi lagi di lebuh raya,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan mesra Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Aidilfitri Peringkat Negeri Terengganu di sini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Tengku Farok Husin Tengku Abdul Jalil dan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Abd Rahim Md Din.

Zulkarnain berkata selain menjaga keselamatan orang ramai, penempatan pegawai dan anggota di lokasi tersebut juga bertujuan meningkatkan persepsi ditangkap melakukan kesalahan (POBC) dalam kalangan pengguna jalan raya.

Dalam pada itu, Zulkarnain memaklumkan bahawa pihaknya telah melaksanakan Ops Raya lebih awal iaitu bermula 12 April lepas dengan tumpuan kepada kenderaan perdagangan dan berat.

“Kita bermula dengan pemeriksaan teknikal terhadap kenderaan perdagangan dan berat untuk elak kemalangan melibatkan kenderaan jenis ini.

“Pemeriksaan terhadap bas yang akan digunakan pada musim perayaan juga telah dijalankan dan hanya satu kesalahan dikesan iaitu melibatkan kes cermin pecah,” katanya. – BERNAMA