Seorang wanita yang ditahan oleh JIM dihadapkan di Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. Gambar ihsan JIM

KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri ditahan kerana menjadi dalang sindiket penyeludupan kanak-kanak warganegara Sri Lanka ke Eropah menggunakan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA).

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh berkata, pasangan terbabit yang berusia 37 dan 26 tahun ditahan selepas JIM Wilayah Persekutuan di bahagian pasport mencurigai permohonan PMA kanak-kanak yang dibawa oleh pasangan itu.

“Tindakan peka dan pantas pegawai Imigresen di Bahagian Pasport yang menyedari serta mengesan keraguan dalam permohonan PMA kanak-kanak tersebut telah mengambil tindakan lanjut dengan menemubual kanak-kanak itu kerana mendapati ada perbezaan rupa paras yang ketara dengan penjaga dan gagal bertutur Bahasa Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Ruslin berkata, sindiket terbabit bergerak menggunakan nama ‘Bahnu Internationals’ dengan modus operandi menjadikan ibu atau bapa rakyat Malaysia dari keluarga miskin dan mempunyai anak dibawah umur 12 tahun untuk dimanipulasi maklumat diri.

Katanya, mereka akan memperdaya ibu bapa kanak-kanak itu supaya membawa sijil lahir ke pejabat Imigresen seolah-olah untuk membuat PMA bagi anak sendiri.

Bagaimanapun beliau berkata, semasa proses permohonan di kaunter Imigresen, kanak-kanak dari Sri Lanka yang hampir sama umur dengan anak sebenar akan dibawa ke hadapan kaunter bagi tujuan cap jari dan proses ambil gambar.

“Pasangan suami isteri yang mengetuai sindiket ini juga bertindak sebagai ‘transporter’ dengan membawa kanak-kanak Sri Lanka yang telah berjaya memperoleh PMA ke negara Eropah.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengesan dan mengenal pasti tempoh operasi sindiket ini dan berapa ramai kanak-kanak yang telah terlibat,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, berdasarkan siasatan awal,  sindiket ini menerima upah sebanyak  30,000 euro hingga 50,000 euro bagi setiap seorang kanak-kanak Sri Lanka yang diuruskan permohonan PMA dan diiring ke Eropah.

Tambahbya, pasangan suami isteri itu akan dituduh di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 pada hari ini di Mahkamah Seksyen, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Sehubungan itu beliau berharap agar orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan tawaran dan tipu helah seperti sindiket terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast