KAHWIN paksa sering dilihat sebagai sesuatu yang negatif dan ketinggalan zaman dalam kalangan masyarakat moden termasuk di negara ini.
Tanggapan sedemikian turut dilabelkan pada Kerajaan Perpaduan yang dianggotai Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggambarkan kerjasama parti-parti politik dalam Kerajaan Perpaduan khususnya antara PH dan BN sebagai kahwin paksa.
Malah, beliau menganggap ‘perkahwinan’ tersebut sedang mengalami bibit-bibit keretakan ekoran pertikaman lidah antara pemimpin-pemimpin UMNO dan DAP.
Perselisihan faham dalam sesebuah perkahwinan memang sukar untuk dielakkan, sama ada yang dijodohkan atas pilihan orang tua atau secara suka sama suka.
Sebab itulah wujud bidalan Melayu yang berbunyi: “Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri”.
Situasi yang sama juga berlaku dalam mana-mana kerjasama politik, lebih-lebih lagi jika melibatkan parti-parti yang mempunyai agenda perjuangan yang bezanya umpama langit dan bumi seperti UMNO dan DAP.
Dalam masa kira-kira lima bulan selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan, boleh dikatakan UMNO dan DAP masih lagi dalam proses menyesuaikan diri dan menyelami hati budi pasangan politik masing-masing.
Mungkin veteran DAP, Lim Kit Siang juga masih belum membiasakan diri dengan hakikat bahawa UMNO dan DAP kini bernaung di bawah bumbung yang sama.
Akibatnya, beliau secara terbuka mengkritik usaha UMNO menyokong permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan pengampunan diraja.
Maka, tercetuslah drama berbalas kenyataan antara Kit Siang dan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang juga orang lama dalam UMNO.
Generasi yang lebih muda pula dilihat lebih bertolak ansur dan sentiasa mencari jalan penyelesaian yang memuaskan hati semua pihak dalam pelbagai isu.
Anak Kit Siang sendiri iaitu Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berusaha untuk berbaik-baik dengan UMNO dan beliau membuktikannya dengan menghadiri majlis berbuka puasa anjuran bersama Pusat Khidmat Parlimen Jelutong, kariah Masjid Sungai Pinang dan UMNO Bahagian Jelutong kelmarin.
Sebelum ini, tiada siapa yang dapat membayangkan Guan Eng dan rakan separtinya yang juga Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer sanggup turun padang bersama UMNO untuk menyantuni masyarakat setempat.
Ada yang menganggap ia sebagai drama menjelang pilihan raya negeri namun sekurang-kurangnya mereka berusaha untuk memperkukuhkan hubungan yang baru dijalin.
Walaupun pembangkang mengharapkan perkahwinan paksa antara BN dan PH terlerai menjelang pilihan raya enam negeri tidak lama lagi, rakyat mempunyai pandangan yang sebaliknya.
Rakyat tidak mahu lagi tragedi kerajaan bertukar tiga kali dalam satu penggal berulang sehingga menyebabkan mereka hidup menderita, lebih-lebih lagi ketika era pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang gagal menangani kesan krisis pandemik COVID-19 dengan berkesan.
PN sendiri melalui pengalaman pahit apabila jodoh yang bertaut secara suka sama suka bersama BN dan GPS tidak mampu bertahan lama.
Agaknya sebab itulah mereka berharap Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta dibantu timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid dan Datuk Seri Fadillah Yusof menerima nasib yang sama.
Memandangkan ‘perkahwinan’ mereka dahulu pun gagal, maka pasangan lain pun tidak patut hidup bahagia. Mungkin falsafah songsang itu yang melatari pemikiran pembangkang. – MalaysiaGazette
bumi mn tak ditimpa hujan, begitu lh bahtera rumah tangga mesti ada pergeseran,tp hubungan kekeluargaan tetap akrab hingga akhir hayat,begitulah kerajaan perpaduan walaupun berbeza ideologi,tp kesefahaman tetap terjalin demi kebaikan rkyt yg perlu dipelihara aman sejahtera
Sejak bila DAP tahu …sedangkan lidah lagi tergigit? MORAL lebih parah dalam filem P.Ramli yang lain tak ambil sedutan ke hahaha. Welanon dan Perbanduan telah ditakdirkan