KUALA LUMPUR – Tindakan segelintir penyewa tempatan yang tidak bertanggungjawab meminjamkan atau menjual kenderaan kepada warga asing yang tidak memiliki sebarang lesen sepatutnya tidak dipandang ringan oleh kerajaan.
Malah kes ini semakin meningkat lagi-lagi dengan pelbagai aduan yang mendakwa ramai dalam kalangan warga asing terutama etnik Rohingya dikesan memandu kereta atau menunggang motosikal yang dipinjam daripada pemilik yang juga warga tempatan termasuk dipinjamkan oleh majikan masing-masing.
Lebih menyakitkan pesalah itu didapati pemegang kad Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR).
Pemuda Kebangsaan Tamilar Kural Malaysia, M. Kogilan berkata, pihaknya juga menerima aduan kes semakin berleluasa dengan segelintir rakyat tempatan seperti tidak peduli undang-undang sebaliknya berterusan melakukan kesalahan yang akhirnya boleh mengundang situasi tidak elok kepada orang awam.
Jelas Kogilan, terlalu ramai rakyat tempatan melakukan kesalahan ini dengan meminjam kenderaan mereka kepada golongan pelarian UNHCR yang rata-ratanya tidak mempunyai apa-apa pengenalan mahupun lesen memandu sah.
“Ini sangat serius. Mungkin akan adanya situasi sehingga mengundang maut, adakah kita hendak terus berdiam diri sehingga ke tahap itu?
“Baru-baru ini, saya telah dimaklumkan tentang satu kemalangan yang mana pengguna jalan raya warga tempatan dilanggar oleh warga asing yang cuba melarikan diri selepas kesalahan tersebut. Apabila diperiksa didapati motor itu disewa oleh rakyat kita.
“Soalan saya, apakah tindakan akan diambil kepada warga tempatan yang menyewa atau meminjam motorsikal dia kepada warga asing? Walaupun pemilik kenderaan sedia maklum dengan undang-undang namun ini masih berleluasa,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Sehubungan itu, kata Kogilan lagi, Kementerian Pengangkutan Malaysia perlu bertindak lebih tegas terhadap rakyat tempatan yang berbuat demikian.
“Kompaun sahaja kadang-kadang tidak cukup. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke diharap dapat melakukan sesuatu, pesalah-pesalah ini juga perlu dihadapkan ke mahkamah atau mengenakan tindakan lebih keras seperti menyita kenderaan disewa itu supaya menjadi pengajaran kepada semua.
“Harapnya isu ini tidak akan ‘mati’ di sini sahaja sebaliknya diambil perhatian sewajarnya,” tegasnya. -MalaysiaGazette