ayam dedak telur
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bekalan telur ayam pelbagai gred di Kelantan dan Terengganu stabil dan mencukupi untuk kegunaan hingga Aidilfitri.

Sehubungan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub meminta pengguna di Pantai Timur tidak panik.

Dalam masa yang sama, beliau menasihatkan pengguna di kedua-dua negeri tersebut berhemah apabila membeli telur ayam untuk kegunaan di musim perayaan ini bagi mengelakkan gangguan ke atas bekalan telur ayam di pasaran.

“Secara keseluruhannya mendapati, bekalan telur ayam di negeri Kelantan tidak mengalami masalah dan masih mencukupi untuk kegunaan isi rumah sempena musim perayaan ini.

“Di Terengganu pula, bekalan telur masih boleh diperolehi di pasar raya-pasar raya utama dan juga di kedai-kedai runcit di pekan-pekan kecil.

“Hasil pemantauan menunjukkan permintaan terhadap telur semakin menurun kerana berakhirnya bazar-bazar Ramadan dan tiada lagi permintaan yang banyak dari industri kuih, kek dan biskut raya.

“Telur daripada gred kawalan juga masih banyak dan dijangka mampu untuk menampung permintaan pengguna,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata demikian selepas mengesahkan KPDN telah melakukan pemeriksaan dan pemantauan segera di beberapa buah pasar raya dan pasar raya besar terpilih di Kelantan dan Terengganu.

Tindakan berkenaan dibuat berdasarkan laporan sebuah akhbar yang melaporkan berlaku gangguan bekalan telur ayam negeri di Pantai Timur.

Tambah Salahuddin, berdasarkan statistik bekalan telur ayam di 225 premis Pengedar Peruncit Terpilih (Dedicated Distributor Retailer) di seluruh negeri Kelantan, sebanyak 220,140 biji stok pelbagai gred masih ada di pasaran.

Sementara itu katanya, KPDN akan mengadakan libat urus dengan Kementerian Pertanian
dan Keterjaminan Makanan serta pemain industri untuk memastikan kecukupan bekalan di pasaran pada masa akan datang.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Alhamdulillah KELANTAN TERENGGANU banyak telur Salehhudin Ayub bagi itu tanda Amanah tu. PRN nanti boleh PH NODAP menang besar, banyak telur tu boleh gentel hahaha

Comments are closed.