Gambar hiasan

BULAN Syawal mengingatkan kita untuk saling bermaaf-maafan, meleraikan segala kekusutan dalam hubungan antara ahli keluarga, antara pekerja di sektor korporat dan swasta serta di antara pemimpin-pemimpin politik dari pelbagai parti politik. Namun bukan sahaja di bulan Syawal tetapi sepanjang 365 hari dan sepanjang hidup, amalan maaf-bermaafan perlu diamalkan oleh setiap insan. Amalan bermaafan merupakan amalan yang mulia, malah dituntut dalam semua agama.

Amalan saling bermaaf-maafan dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara
keluarga dan sanak saudara serta meningkatkan rasa kedamaian antara pihak-pihak
yang pernah berseteru dan bercakaran antara satu sama lain. Dalam konteks keluarga, mungkin ada percakapan atau kejadian yang telah merenggangkan hubungan ahli keluarga. Kemungkinan konflik antara suami isteri, ibu bapa dengan anak, adik beradik dan saudara mara. Dalam keadaan ekonomi yang agak merundung, dengan pelbagai cabaran persekitaran, pelbagai penyakit, kos hidup yang lebih tinggi, tekanan hidup juga meningkat, ada kalanya perkara kecil boleh meretakkan hubungan silaturahim yang telah lama dibina.

Adakalanya, ketidakfahaman antara ahli keluarga menyebabkan kita tidak bersua antara satu sama lain untuk tempoh masa yang panjang. Malah ada yang berpesan agar
seseorang yang telah menyakitkan hati itu tidak datang menjenguk mayat mereka
sekiranya mereka dipanggil oleh Maha Pencipta. Satu ketika dulu, saya menghadiri pengebumian bapa seorang pekerja di tempat kerja dulu. Ramai saudara-mara dan rakan taulan yang menghadiri pengebumian tersebut. Tiba-tiba ada satu seorang warga emas datang untuk memberi penghormatan terakhir kepada si mati. Isteri si mati meraung sambil berkata, “Sudah 30 tahun, kamu tak menjenguk adik kamu, sekarang sahaja kamu datang mau tengok mayat dia.” Kita tidak tahu apakah punca persengketaan dua beradik tersebut namun konflik tersebut telah merenggangkan hubungan silaturahim dua
adik beradik untuk lebih kurang 30 tahun.

Tempoh hari, semasa bersama para ibu untuk segmen “Luahan Ibu” di SMKK KLIA,
seorang ibu, Puan Nita berkongsikan satu amalan dalam keluarga mereka yang
terdiri daripada ibu, ayah, serta lima orang anak. Apa sahaja yang berlaku di siang
hari, pada waktu malam, sebelum mereka ke kamar masing-masing, seharusnya
mereka semua harus meminta maaf antara satu sama lain. Amalan yang sangat
murni yang boleh dipraktikkan dalam keluarga. Para ibu bapa boleh mengajar anak-
anak untuk saling maaf bermaafan antara satu sama lain bukan hanya pada hari
raya tetapi setiap hari supaya hubungan kekeluargaan itu menjadi lebih intim.
Dalam agama Kristian juga dinyatakan tentang amalan bermaafan di mana dalam
Efesus 4: 26-27, “Apabila kamu menjadi marah, janganlah kamu berbuat dosa:
janganlah matahari terbenam, sebelum padam amarahmu dan janganlah beri
kesempatan kepada iblis,”.

Ayat ini mengajar supaya kita saling memohon maaf sebelum matahari terbenam.
Amalan meminta maaf juga dipraktikkan dalam kalangan masyarakat Kelabit di
Sarawak. Selalunya Ketua keluarga akan meminta semua ahli keluarga saling
bermaaf-maafan sebelum memulakan sebarang aktiviti keluarga. Amalan saling bermaaf-maafan ini telah dipraktikkan sejak berkurun-kurun. Malah hampir semua agama mengajar umatnya untuk meminta dan memberi maaf. Sekiranya amalan ini dilupakan, pasti akan lahir bibit-bibit kebencian dan dendam di kalangan insani.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa merajuk, perasaan sakit hati, marah dan kebencian adalah lumrah di kalangan manusia, namun manusia  juga diberi kekuatan untuk merendahkan diri untuk meminta dan memberi kemaafan. Dalam Islam, terdapat hadis yang mengatakan tentang meminta maaf dan betapa penting kemaafan agar hati menjadi tenteram. Malah, meminta maaf merupakan tindakan mulia dalam Islam kerana saling meminta maaf dan memaafkan merupakan amalan yang sangat penting dalam kehidupan sosial. Amalan ini penting kerana memang lumrah manusia untuk melakukan kesalahan dan menatijahkan kepada keadaan jiwa dan emosi terganggu.

Maka kunci untuk membebaskan diri daripada belenggu pergolakan jiwa adalah apabila kita merendahkan diri dan meminta maaf antara satu sama lain kerana ianya adalah terapi kejiwaan yang paling efektik untuk membuat hati kita lebih ringan, tenang dan tenteram. Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah Allah memberi tambahan kepada seseorang hamba yang suka memberi maaf melainkan kemuliaan,” (HR. Muslim). Satu lagi hadis yang berkaitan adalah: “Tidak halal bagi seorang mukmin untuk tak bersapaan
dengan saudaranya (sesama muslim) lebih dari tiga hari,” (HR. Muslim).

Amalan meminta maaf dan memaafkan seseorang bukan merupakan perkara yang
kecil tetapi mulia di sisi Tuhan. Di samping itu, ayat berikutnya menyatakan bahawa
seseorang itu perlu menegur saudara seiman, jangan sampai lebih tiga hari. Namun
ada orang yang merajuk sampai bertahun-tahun dan tidak bersapa antara satu sama
lain. Bila meminta maaf atau memberi maaf, ianya bukan sekadar mengungkapkannya
hanya di bibir tetapi ia harus datang dari lubuk hati seseorang itu. Seterusnya,
adakah seseorang itu berupaya untuk melupakan kekhilafan yang dilakukan oleh
orang tersayang. Namun sebagai manusia, kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Cuma, kita harus menerima hakikat bahawa kita juga bersalah dan berdosa seperti orang lain. Tidak ada manusia yang sempurna di
muka bumi ini.

Namun realitinya, memang sukar untuk memaafkan seseorang yang lain. Apalagi
sekiranya seseorang itu merasakan mereka tidak bersalah. Contohnya dalam
konteks hubungan suami isteri, adakalanya suami isteri tidak bertegur sapa antara
satu sama lain hanya kerana perkara yang kecil. Namun, salah seorang pasangan
perlu mengorak langkah untuk memohon maaf sungguhpun jauh di benak hati, dia
merasakan yang dia tidak bersalah. Namun, demi untuk menjaga keharmonian
rumah tangga, kita harus meminta maaf. Dalam konteks mana-mana agama pun,
orang yang tidak bersalah tetapi sanggup merendahkan hati dan sanggup meminta
maaf adalah orang yang paling mulia di sisi Maha Pencipta.

Dalam konteks tempat kerja juga, kita berhadapan dengan pelbagai konflik namun
sebagai kakitangan yang berperkemanusiaan seharusnya menjadi contoh kepada
pekerja yang lain untuk meminta maaf dan sentiasa bersedia untuk memaafkan
pekerja lain sewaktu berlaku sebarang kekhilafan. Kita tidak harus berdendam
dengan rakan sekerja, sebaliknya mengamalkan komunikasi terbuka supaya
sebarang konflik di tempat bekerja itu dapat diselesaikan melalui rundingan dan
perdamaian. Apabila pekerja dapat memaafkan antara satu sama lain, nescaya,
suasana bekerja menjadi lebih harmoni.

Dalam konteks politik, amalan saling bermaaf-maafan menjadi amalan penting di
kalangan pemimpin-pemimpin yang menerajui sesebuah negara. Sewaktu kempen
pilihanraya, terdengar laungan parti-parti politik dengan manifesto masing-masing,
memaki hamun pembangkang hanya untuk menegakkan kedudukan mereka. Kini, parti-parti yang menjadi musuh suatu ketika dulu kini menzahirkan kedudukan masing-masing melalui Kerajaan Perpaduan. Demi untuk negara, demi untuk bangsa tercinta, pemimpin-pemimpin harus meminta maaf serta memaafkan antara satu sama lain untuk membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada negara. Bukan mudah untuk meminta maaf dan melupakan kisah lama yang telah mengguris hati apalagi untuk melupakan dan menyembuh daripada luka-luka yang yang lama namun Perdana Menteri selaku Kapten perlu mengemudi bahtera Kerajaan Perpaduan, sungguhpun pelayaran penuh dengan ombak dan badai.

Ada kemungkinan kelasi yang ada dalam bahtera terasa dendam, benci, rasa dikhianati,
masih curiga dan ada yang menyembunyikan rasa kemarahan. Memang tidak
mudah untuk melupakan pejuangan politik bagi seseorang pemimpin sejati namun
dalam situasi negara kita, tidak ada pilihan sebaliknya harus belajar merendahkan
diri, saling bermaaf-maafan demi untuk membawa kemakmuran dan kesejahteraan
kepada bangsa dan negara. Maka di bulan Syawal ini, tidak kira bangsa Melayu,
Cina, India, Iban, Melanau, Kelabit, tidak kira agama, Islam, Kristian, Buddha, dan
Hindu harus menghulurkan tangan dan memohon maaf antara satu sama lain.
Sekiranya ada sengketa antara ahli keluarga, marilah kita saling memaafkan antara
satu sama lain sebelum matahari terbenam.

Oleh: Selvarani P. Kovil Pillai
Pensyarah
Program Komunikasi,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)