Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Parti-parti politik di dalam Kerajaan Perpaduan digesa untuk menghayati semangat perpaduan sempena kehadiran Syawal esok dan perlu dihayati sama oleh blok pembangkang.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, amat mendukacitakan apabila terdapat percakaran terbuka sesetengah pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan yang bergaduh sesama sendiri di laman sosial.

Menurutnya, mereka sewajarnya melakukan perbincangan lebih matang, contohnya dalam isu harga tiket ke Sabah.

Shahir berkata, rakyat pada hari ini mahu Kerajaan Perpaduan fokus dalam menyelamatkan ekonomi Malaysia, seterusnya prihatin kepada ekonomi rakyat.

“Malaysia tidak mempunyai pilihan lain kecuali untuk terus mengejar negara-negara rantau ini yang dilihat lebih ke hadapan meninggalkan Malaysia,” katanya menerusi kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Deangan memberikan contoh, Shahir berkata, Indonesia lebih fokus dalam memperkasakan agenda ekonomi negara mereka tanpa diganggu-gugat oleh percakaran politik.

Katanya, Kerajaan Perpaduan harus cakna dengan isu rakyat apabila ramai golongan M40 terus tergelincir ke B40.

Ujarnya, bantuan kewangan sahaja tidak mencukupi, sebaliknya, kerajaan perlu memberikan “joran” untuk rakyat menangkap ikan kerana pemberian “ikan” sahaja tidak menyelesaikan masalah kos sara hidup untuk jangka masa panjang.

Justeru beliau berkata, sempena Syawal ini, DPIM menyeru semua pihak untuk membaiki diri setelah melalui “sekolah Ramadan”.

“Seharusnya, ahli-ahli politik berpolitik secara matang dengan agenda rakyat menjadi perkara pokok.

“Jangan asyik berpolitik untuk kepentingan diri sendiri atau untuk melepaskan apa ju kes mahkamah yang dihadapi,” katanya.

Dalam pada itu, Shahir turut mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri kerana kekal tidak campur tangan urusan kes mahkamah yang melibatkan ahli politik.

Tegasnya, kerajaan perlu memberikan penyelesaian terbaik untuk semua dan mungkin salah satu daripadanya memberikan lebih banyak insentif kepada warga emas atau pesara.

Pada masa sama kata beliau, kerajaan perlu menurunkan kos sara hidup agar semua pihak tidak terbeban dengan situasi kewangan semasa.

“Semoga Syawal tahun ini mendatangkan lebih rahmah kepada Rakyat Malaysia,” tambahnya. – MalaysiaGazette