Masjid Al Malik Khalid, USM Pulau Pinang menjadi tumpuan pelajar antarabangsa.

GEORGE TOWN – “Bila takbir bergema saya tidak dapat menahan sebak mengenangkan suasana di Palestin yang tidak pernah sunyi dengan letupan bom dan percikan roket berbanding takbir,” luah Khoraisya.

Menurut wanita berusia 40 tahun itu, bagaimanapun, suasana tersebut berubah 100 peratus bila dia mengikut suaminya ke negara ini bagi melanjutkan pelajaran.

“Saya tak dapat nak gambarkan perasaan gembira bila dengar takbir dan boleh ke masjid tanpa perasaan takut.

Khoraisya.

“Namun dalam masa sama tersembunyi perasaan sedih berjauhan dengan saudara yang masih berada di Palestin,” katanya yang merupakan penuntut sebuah kolej swasta di sini.

Turut berkongsi perasaan gembira, Mohammad Arafat, 19, yang berasal dari Jordan berkata, dia datang ke Pulau Pinang bagi meraikan Aidilfitri bersama keluarganya.

Mohammad.

“Sudah 12 tahun kami sekeluarga menetap di negara ini susulan ibu saya merupakan pensyarah di Universiti Sains Malaysia.

“Walaupun sudah lama meraikan Aidilfitri di sini tapi perasaan rindu akan kampung halaman sentiasa wujud.

“Namun kerinduan itu diubati dengan rakan-rakan dari negara sama serta berhampiran memadangkan budaya kami tidak beza banyak,” kata penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor.

Sementara itu, Musbahu, 30, dari Nigeria berkata, pengalaman meraikan Aidilfitri di negara ini akan menjadi kenangan terindah buat dirinya memandangkan orang Islam bergaul di sini tanpa melihat status seseorang.

Musbahu.

“Ini merupakan tahun kedua saya selaku pelajar di USM dan boleh dikatakan saya menunggu musim perayaan untuk meraikan berbeza budaya,” katanya.

Terdahulu tinjauan MalaysiaGazette di Masjid Al Malik Khalid, USM di sini, mendapati orang ramai mula membanjiri masjid bermula jam 8.30 pagi.

Belon diagihkan kepada kanak-kanak yang datang solat sunat Aidilfitri di masjid berkenaan.

Selain itu, ada segelintir pelajar antarabangsa membawa gula-gula serta belon sebagai tanda meraikan sambutan Aidilfitri untuk diagihkan kepada kanak-kanak yang berada di masjid terbabit. – MalaysiaGazette