statistik kemalangan jalan raya bersempena OP Selamat 20 Aidilfitri 2023 oleh JSPT Bukit Aman PDRM bertarikh 22 April 2023.Ihsan JSPT Bukit Aman Facebook

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,147 kes kemalangan jalan raya direkodkan pada Hari Raya Aidilfitri dan hari ketiga penguatkuasaan Op Selamat 20.

Op Selamat 20 berkuatkuasa selama tujuh hari bermula 21 April sehingga 27 April ini.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman berkata, angka terbaharu itu menunjukkan penyusutan berbanding jumlah kemalangan yang direkodkan pada hari pertama dan kedua Op Selamat yang berkuatkuasa pada hari Jumaat lalu.

Pada hari pelancaran 20 April lalu, Op Selamat mencatatkan sebanyak 1,964 kes kemalangan melibatkan 2,486 kenderaan, disusuli 1,389 kes membabitkan 1,601 kenderaan pada 21 April lalu.

“Angka kes hari ketiga itu menyaksikan jumlah kenderaan terlibat dalam kemalangan sebanyak 1,720 buah di seluruh negara.

“Berdasarkan statistik jumlah kereta masih menjadi penyumbang tertinggi kes pada hari ketiga Op Selamat 20 iaitu 1,268 buah atau 73.7 peratus.

“Motosikal menyumbang kes nahas kedua tertinggi pada hari ketiga iaitu 209 buah atau 12.2 peratus disusuli kenderaan pacuan empat roda (102) buah atau 5.9 peratus, MPV (85) buah, lori (11) buah, van (36) buah, tujuh buah bas dan dua teksi, ” kata JSPT menerusi statistik harian Op Selamat 20 yang dipaparkan menerusi Facebook.

Bagaimanapun, pada hari ini tiada kes kemalangan membabitkan basikal berbanding dua kes nahas melibatkan pengayuh basikal dua hari lalu.

“JSPT menasihatkan agar semua pengguna jalan raya sentiasa peka semasa pemanduan bagi mengelak risiko terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Op Selamat 20 berkuatkuasa selama tujuh hari sehingga 27 April ini. – MalaysiaGazette