KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor masih belum membayar ganti rugi sebanyak RM120,000 kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar.
Menurut Mahfuz, sehingga kini Muhammad Sanusi belum melunaskan tuntutan tersebut walaupun tempoh pembayaran telah ditetapkan 14 hari daripada proses penghakiman pada 3 April lalu.
Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, Muhammad Sanusi perlu berhubung dengan peguamnya jika berhasrat mahu menangguhkan pembayaran.
“Muhammad Sanusi perlu bayar segera kerana tempoh diberikan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini ialah 14 hari daripada penghakiman.
“Beliau ketika itu telah minta tangguh sebab mahu buat rayuan ke Mahkamah Rayuan.
“Tiada pindaan dilakukan kecuali satu saja, iaitu denda daripada RM50,000 kepada RM120,000. Tempoh 14 hari masih kekal daripada tarikh penghakiman,” katanya seperti dilaporkan di Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, Muhammad Sanusi tidak seharusnya menunggu sehingga perintah mahkamah dikeluarkan kerana keputusan telah pun dibuat.
Mahfuz berkata, sekiranya Menteri Besar Kedah itu mahu membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan beliau mungkin akan meminta bayaran berkenaan ditambah.
“Bermakna sekiranya nak bayar tak perlu tunggu perintah mahkamah dikeluarkan terhadap beliau, terus bayar sahaja.
“Kecuali mungkin beliau mahu merayu pula ke Mahkamah Persekutuan, yang itu perlu beritahu kepada peguam saya, tiada masalah.
“Saya akan arah pula peguam saya buat rayuan pencelahan di mahkamah mungkin untuk minta tambah daripada RM120,000 kepada RM240,000,” jelasnya.
Empat hari lalu Mahfuz turut memuat naik video di akaun TikToknya membayangkan Muhammad Sanusi masih belum melunaskan bayaran ganti rugi berkenaan.
Muhammad Sanusi gagal dalam rayuannya berhubung kes saman fitnah dikemukan bekas Ahli Parlimen Pokok Sena pada 3 April lalu.
Mahkamah Rayuan sebaliknya meluluskan permohonan Mahfuz untuk menaikkan jumlah bayaran ganti rugi.
Mahkamah Tinggi pada November 2021 memerintahkan Sanusi untuk membayar ganti rugi RM50,000 kepada pemimpin parti Amanah itu.
Hal ini berhubung satu hantaran Muhammad Sanusi di akaun Facebook pada Julai 2019 yang menerbitkan kenyataan berunsur fitnah kepada Mahfuz.
Muhammad Sanusi mengaitkan Mahfuz selaku wakil rakyat bagi kawasan Pokok Sena ketika itu dalam isu pemindahan Sport Toto ke kawasan tersebut.-MalaysiaGazette
Mahfouz KEMURUNGAN dan tergila-gila tahap tinggi dah… sejak kehilangan KERUSI TERDUDUK meracau. Jika ada peguam sendiri suruh dia jalankan tugas BUKAN suruh PEGUAMBELA defender buat kerja dengan peguam hang.
Talak jenis apakah virus ini?